KUALA LUMPUR 4 Ogos — Kimlun Corporation Berhad diyakini memperoleh manfaat perkembangan banyak projek pembinaan baharu yang dirancang di Sarawak, Johor dan Singapura, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, potensi terbesar ialah Sarawak yang menerima peruntukan lebih tinggi sebanyak RM5.9 bilion di bawah Belanjawan 2025 berbanding RM5.8 bilion pada setahun sebelumnya.
Pertambahan itu katanya, selaras usaha kerajaan untuk mempercepatkan pelancaran pelbagai projek infrastruktur seperti Fasa 2 Jalan Hubungan Sarawak-Sabah (SSLR) dan Lebuhraya Pantai Utara.
"Kimlun berada di tempat baik untuk memanfaatkan banyak projek berdasarkan rekod prestasinya dalam Lebuhraya Pan Borneo (PBH) Sarawak dan Fasa 1 SSLR," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Kumpulan itu juga tambahnya, memperoleh kontrak bernilai hampir RM2 bilion di Johor dengan kehadiran besar di wilayah Iskandar Malaysia terutama dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Perkembangan tersebut katanya, memberi peluang kepada Kimlun bukan sahaja dalam bentuk pekerjaan bangunan industri dan pejabat, tetapi juga kediaman, jika permintaan terhadap hartanah meningkat.
Di Singapura kata RHB Research, pengembangan rangkaian rel kepada 360 kilometer di bawah Pelan Induk Pengangkutan Darat 2030, menyediakan peluang berterusan untuk anak syarikat Kimlun sendiri.
"Ia terlibat dalam konkrit pratuang, manakala projek Mass Rapid Transit 3 di Malaysia diramal memberi potensi yang menyumbang 23% daripada pendapatan FY24 kumpulan," kata firma berkenaan.
Bagaimanapun, ia memberi amaran agar Kimlun berwaspada terhadap isu kemeruapan yang mungkin tidak dijangka dalam kos bahan binaan dan masalah kelembapan dalam pelancaran kerja-kerja pembinaannya.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research tidak memberikan sebarang penarafan ke atas prospek kumpulan dan meletakkan nilai wajaran RM1.86 sesaham. - DagangNews.com








