KUALA LUMPUR 9 Feb – MBSB Research mengekalkan saranan Beli terhadap Matrix Concepts Holdings Berhad dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.65, susulan lawatan tapak ke beberapa projek syarikat di Lembah Klang yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan.
Firma penyelidikan itu berkata Matrix berada pada landasan strategik untuk mencapai sasaran jangka panjang menjana 30% pendapatan daripada projek di luar Negeri Sembilan, dengan momentum pembangunan di Lembah Klang semakin kukuh.
Menurut MBSB Research, pemerolehan Horizon L&L pada Ogos 2025 telah memperluas kehadiran Matrix di Sepang dan Banting, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam pasaran hartanah Lembah Klang.
“Horizon Suites di Kota Warisan, Sepang yang merupakan projek Horizon L&L, dilihat berada pada kedudukan strategik dengan permintaan sewaan yang baik, khususnya daripada kru penerbangan berikutan kedudukannya yang hampir dengan KLIA dan stesen ERL.
“Horizon Suites sudah siap dan setiap unit boleh disewa sekitar RM1,800 sebulan manakala projek baru Horizon KLIA akan dibina dan dijual mulai April hingga Jun 2027 dengan nilai pembangunan keseluruhan (GDV) dianggarkan RM366.4 juta.
“Di Banting, pembangunan Bandar Mahkota Banting oleh Horizon L&L menunjukkan prestasi jualan yang kukuh, dengan pelancaran terbaharu bagi rumah mencatatkan kadar pengambilan sehingga 98%,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Firma itu berkata, permintaan terhadap projek di Bandar Mahkota Banting disokong oleh peningkatan kesalinghubungan hasil pembukaan persimpangan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan kawasan tersebut ke Klang serta lebuh raya utama lain.
Selain projek unit rumah atas tanah (landed house), Matrix turut giat mengembangkan segmen bertingkat tinggi menerusi Levia Residences di Cheras yang mempunyai GDV RM520.9 juta dan mencatatkan kadar jualan sekitar 86%, dengan jangkaan siap pada September 2027.
MBSB Research berkata, projek Levia Puchong dan Levia Damansara yang akan datang dijangka memperkukuh sumbangan pendapatan kumpulan, selain mempercepatkan pelaksanaan projek bertingkat tinggi hasil kepakaran Horizon L&L.
Walaupun projek bertingkat tinggi lazimnya mempunyai margin lebih rendah berbanding pembangunan rumah di atas tanah, MBSB Research menjangkakan sumbangan daripada segmen ini masih mampu menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan.
MBSB mengekalkan unjuran pendapatan Matrix Concepts bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 pada RM1.44 bilion, RM1.52 bilion dan RM1.73 bilion dengan prestasi dijangka terus disokong oleh pembangunan kukuh di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Matrix turut dilihat sebagai proksi kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan, khususnya melalui pembangunan Bandar Sri Sendayan dan potensi jangka panjang Malaysia Vision Valley (MVV) City.
Dengan diskaun penilaian 22% kepada nilai aset bersih nyata (RNAV) serta hasil dividen dianggarkan sekitar 5.2%, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap Matrix Concepts dan mengekalkan saranan beli ke atas saham tersebut. - DagangNews.com








