Projek Limbang lonjak buku pesanan Gamuda, tanda kemunculan semula ke pasaran Sarawak - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Limbang lonjak buku pesanan Gamuda, tanda kemunculan semula ke pasaran Sarawak - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Walaupun penglibatan Gamuda dalam projek pembinaan Seksyen 1 Lebuhraya Pesisir Utara di Limbang tidak besar, namun kejayaan tersebut mempunyai signifikan penting kepada kumpulan berkenaan, kata penganalisis.

 

Menurut CGS International, kemenangan projek baharu di Sarawak menjadi pencapaian penting kerana mampu melonjakkan buku pesanannya kepada sekitar RM37.7 bilion setakat Ogos 2025, berbanding 34% sumbangan projek tempatan pada Oktober 2024 yang kini meningkat kepada 40%.

 

Malah, dengan mengambil kira projek tempatan yang sedang disasarkan, firma penyelidikan itu menjangkakan Gamuda menamatkan tahun kalendar 2025 (CY25F) dengan buku pesanan sekitar RM42.7 bilion, selari dengan sasaran kumpulan itu antara RM40 bilion hingga RM45 bilion.

 

"Perkembangan ini sekali gus mengukuhkan prospek syarikat dalam mengekalkan momentum pertumbuhan, meskipun projek berkenaan bukanlah bersaiz mega," ujar firma berkenaan.

 

TA Securities pula menjangkakan dari sudut kewangan projek berkenaan mampu memberikan margin keuntungan sebelum cukai sekitar 8%.

 

"Berdasarkan nilai kontrak efektif Gamuda sebanyak RM500 juta, keuntungan bersih kumulatif diunjur sekitar RM30.4 juta sepanjang tempoh pembinaan.

 

"Faktor ini sekali gus melonjakkan buku pesanan Gamuda kepada sekitar RM37.7 bilion, bersamaan 3.6 kali hasil pembinaan FY24 – mengukuhkan keterlihatan pendapatan kumpulan bagi tempoh berbilang tahun," ujar firma berkenaan.

 

Projek Limbang atau nama rasminya Pakej Kerja Seksyen 1 Lebuhraya Pesisir Utara (NCH) – Limbang, melibatkan pembinaan kira-kira 14.7km lebuh raya empat lorong dua hala di Limbang, Sarawak, merangkumi jambatan, jejambat, kerja-kerja tanah serta infrastruktur sokongan lain. Tempoh pembinaan ditetapkan selama 48 bulan dari tarikh milikan tapak.

 

Kontrak bernilai RM1.1 bilion daripada Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu dianugerahkan kepada Naim Gamuda JV Sdn Bhd (NAGA) yang dimiliki 70% oleh Naim Engineering Sdn Bhd dan 30% oleh Gamuda, akan bertindak sebagai kontraktor utama bagi projek ini. 

 

Lebuhraya Pesisir Utara sepanjang 87.96km yang akan menghubungkan bandar utama Miri, Limbang dan Lawas. Laluan alternatif itu bakal memintas Brunei, sekali gus menghapuskan empat pemeriksaan imigresen di laluan Miri-Temburong-Limbang sedia ada.

 

Projek berimpak tinggi tersebut dianggarkan bernilai RM6 bilion, meliputi pembinaan 87.96km lebuh raya baharu, 10.16km jalan akses, 13 jambatan termasuk dua jambatan ikonik merentasi Sungai Limbang dan Kuala Lawas, 44 hentian bas, lapan jambatan pejalan kaki serta empat kawasan rehat dan rawat (R\&R).

 

CGS International berkata, nilai bahagian 30% Gamuda bersamaan kira-kira RM340 juta, namun nilai efektif kepada kumpulan diunjur mencecah RM500 juta, memandangkan sebahagian kerja disubkontrak kembali daripada Naim Holdings Bhd.

 

"Gamuda bukan pemain baharu di Sarawak. Pada 2016, usaha sama sama pihak turut memenangi pakej Pan Borneo Highway bernilai RM1.65 bilion.

 

"Kemenangan kali ini, yang merupakan kontrak pertama bagi tahun kewangan berakhir Julai 2026 (FY26F), menandakan kepulangan semula Gamuda ke pasaran Sarawak selepas beberapa tahun menumpukan projek mega di Semenanjung serta luar negara," kata firma itu.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan TAMBAH dengan harga sasaran (TP) RM7.30, berdasarkan penilaian permodalan pasaran kepada nisbah buku pesanan 1x. Ia berasaskan unjuran buku pesanan mampan sekitar RM42.5 bilion, titik tengah panduan Gamuda untuk CY25F.

 

Pada paras harga itu, Gamuda dijangka diniagakan pada 25 kali unjuran P/E FY27F – hujung atas julat dagangan sejak FY22.

 

Namun, unjuran pertumbuhan EPS terkumpul tahunan (CAGR) FY24-FY27F sebanyak 24% serta kepelbagaian operasi di empat pasaran utama – Malaysia, Taiwan, Australia dan Singapura – menjadikan penilaian tersebut wajar.

 

Bagi TA Tesearch, tiada perubahan pada unjuran pendapatan FY25–27F kerana kemenangan ini sudah dimasukkan dalam andaian penambahan tempahan tahun semasa.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan TP RM6.43 berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) dengan premium ESG 3% bersandarkan penarafan ESG 4-bintang.

 

Saranan ke atas saham Gamuda kekal pada BELI, berasaskan prospek pertumbuhan kukuh dan kedudukan strategik kumpulan dalam pembangunan infrastruktur utama, khususnya di Sarawak.  - DagangNews.com