Projek Lapangan Terbang baharu Lawas di landasan tepat disiapkan pada 2028 - RECODA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek Lapangan Terbang baharu Lawas di landasan tepat disiapkan pada 2028 - RECODA

Lapangan terbang sedia ada di Lawas sering terjejas akibat banjir serta terhad oleh landasan pendek. - Gambar dipertingkatkan menggunakan Gemini AI
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 April - Pembinaan Lapangan Terbang baharu Lawas terus menunjukkan kemajuan dengan kerja-kerja di tapak kini dipertingkatkan merentasi dua komponen utama iaitu pembinaan jalan akses sejauh 4km dan Fasa 1 kerja-kerja awam lapangan terbang.

 

Menurut Regional Corridor Development Authority (RECODA), satu mesyuarat kemajuan projek serta lawatan tapak telah diadakan pada 17 April lalu bagi menilai perkembangan semasa projek berkenaan.

 

RECODA memaklumkan antara aktiviti yang sedang giat dijalankan di tapak ialah kerja pembersihan kawasan dan penebangan, penggalian umum, letupan batu, kerja perataan tanah, serta pembinaan sistem saliran dan tambakan.

 

“Walaupun berdepan cabaran besar bentuk muka bumi yang memerlukan kerja pemotongan bukit secara meluas bagi mencapai aras pembentukan yang ditetapkan, projek ini tetap bergerak ke hadapan dengan stabil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

 

RECODA berkata perkembangan projek kekal berada pada landasan yang dirancang, dengan sasaran siap kekal pada April 2028.

 

Projek di bawah Kementerian Pengangkutan itu telah dimulakan pada tahun lalu dan kini memasuki fasa pelaksanaan aktif di lapangan.


 

Lawas

 


Apabila siap kelak, Lapangan Terbang Lawas baharu dijangka menjadi pemangkin penting kepada peningkatan kesalinghubungan di utara Sarawak, selain merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta kawasan sekitarnya.

 

Infrastruktur baharu ini turut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh rangkaian pengangkutan di negeri itu, khususnya bagi kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan kekangan akses.

 

Lapangan terbang baharu berstatus kelas 3C itu akan mampu menampung lebih 100,000 penumpang setahun, sekali gus meningkatkan kapasiti pergerakan udara di kawasan berkenaan.

 

Ia juga akan menggantikan lapangan terbang sedia ada yang sering terjejas akibat banjir serta terhad oleh landasan pendek yang terletak berhampiran Sungai Lawas yang berliku. - DagangNews.com