KUALA LUMPUR 9 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan, syarikat telekomunikasi hanya perlu menghantar lapan jenis data untuk inisiatif Pengumpulan Data Telefon Bimbit (MPD), tanpa melibatkan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan atau nombor telefon.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata, data yang dikumpul termasuk nombor langganan tanpa identiti (MSISDN), ID unik, lokasi menara telekomunikasi (latitud dan longitud), tarikh dan masa transaksi, jenis data (panggilan atau internet), jenis rangkaian (2G, 4G, 5G) dan kod negara.
Katanya, data itu akan disimpan di pejabat MCMC selama tiga tahun dan tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti individu secara langsung atau tidak langsung.
Beliau menjelaskan, inisiatif MPD kini sedang diuji di Cyberjaya dan Melaka dan akan diteruskan sehingga 2026.
Data tersebut katanya, akan dianalisis oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menghasilkan statistik rasmi dalam bidang ICT dan pelancongan.
Beliau menegaskan, MPD tidak tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) kerana data yang dikumpul tidak mendedahkan nama dan tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana individu.
"Kami tidak berniat untuk menjejak lokasi pengguna. MPD adalah kaedah baharu bagi mendapatkan data statistik.
"Sebelum ini, kita hanya bergantung kepada kaji selidik dan bancian," katanya kepada pemberita seperti laporan The Star.
Zurkarnain berkata, semua syarikat telekomunikasi telah bersetuju untuk memberi kerjasama.
"Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan penalti boleh dikenakan," jelasnya.
Ditanya sama ada pengguna boleh memilih untuk tidak terlibat, Zurkarnain berkata, ia adalah keputusan jemaah menteri dan wajib dipatuhi oleh syarikat telekomunikasi mengikut peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, anggota Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez turut menafikan dakwaan bahawa data peribadi pengguna dikumpulkan dan menegaskan tiada pihak ketiga dilantik bagi mengendalikan inisiatif berkenaan.
"Ia dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan dalam peralihan digital.
"Kita perlukan data besar untuk bantu kerajaan merancang dasar dengan lebih tepat," ujarnya.
Tambah Fernandez, pengumpulan data itu juga selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membenarkan MCMC mendapatkan data berkaitan untuk menambah baik infrastruktur negara. - DagangNews.com








