Projek berterusan kukuhkan buku tempahan Binastra tahun ini, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek berterusan kukuhkan buku tempahan Binastra tahun ini, kata penganalisis

Gambar/Binastra Corp Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kontrak terbaharu yang dimenangi oleh Binastra Corp Bhd, dijangka menyumbang keuntungan bersih sekitar RM16.1 juta sepanjang tempoh pembinaan projek itu, menurut penganalisis.

 

TA Securities dan Phillip Capital Research berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan anggaran margin bersih sebanyak 6%.

 

Syarikat itu sebelum ini meraih kontrak bernilai RM268 juta daripada anak syarikat CPI Land, TNJ Development Sdn Bhd, bagi kerja-kerja utama pembinaan kondominium Tuan Heritag3 Residency di Segambut, Kuala Lumpur, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM670 juta.

 

Bagaimanapun, Phillip Capital Research berkata, margin keuntungan projek tersebut lebih rendah berbanding purata biasa antara 9% hingga 10%, kerana Binastra kini lebih banyak menggunakan subkontraktor.

 

Ia bagi membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada projek lain yang sedang berjalan, terutamanya di Johor.

 

"Phillip Capital tetap yakin dengan potensi pertambahan kontrak Binastra, disokong oleh pelancaran projek bernilai RM7 bilion oleh pelanggan utama di Johor yang dijangka bermula antara tahun 2026 hingga 2027," katanya dalam satu laporan.

 

Pelanggan tersebut juga merancang untuk melancarkan projek pembinaan bernilai RM1 bilion tahun ini dan sedang melihat peluang untuk meluaskan operasi ke Johor.

 

Sehingga kini, jumlah kontrak yang dimenangi Binastra bagi tahun ini mencecah RM976.9 juta, atau 28% daripada sasaran penambahan buku pesanan sebanyak RM3.5 bilion bagi tahun 2026.

 

Jumlah buku pesanan semasa Binastra meningkat kepada RM4.3 bilion, bersamaan dengan 4.5 kali ganda anggaran hasil syarikat untuk tahun ini.

 

TA Securities yakin, Binastra berpotensi meraih lebih banyak kontrak daripada pelan pembangunan CPI Land bernilai RM1 bilion.

 

Sementara itu, RHB Research menjangkakan Binastra akan mempunyai pendapatan yang stabil untuk tempoh empat tahun akan datang berdasarkan jumlah buku pesanan syarikat.

 

Firma penyelidikan tersebut percaya, kebanyakan projek baharu syarikat akan datang dari wilayah selatan, termasuk Johor.

 

Antara projek yang berpotensi adalah daripada pelanggan sedia ada syarikat, Exsim Development Sdn Bhd, yang memiliki beberapa tanah di Johor Bahru dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM3 bilion dan nilai pembinaan yang dijangka melebihi RM1.5 bilion.

 

Satu lagi pelanggan utama, Maxim Global Bhd, turut membeli tanah seluas 2.63 hektar di Taman Pelangi untuk projek pada masa akan datang.

 

TA Securities, Phillip Capital dan RHB Research masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Binastra, masing-masing dengan harga sasaran RM2.39, RM2.30 dan RM2.21.

 

Phillip Capital dan RHB Research juga tidak mengubah jangkaan keuntungan walaupun selepas pengumuman kontrak baharu berkenaan. - DagangNews.com