Program tenaga nuklear menjelang 2031 bantu Malaysia ke arah rendah karbon - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Program tenaga nuklear menjelang 2031 bantu Malaysia ke arah rendah karbon - MBSB Research

Gambar hiasan dari Freepik
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Ogos — Usaha kerajaan melaksanakan program tenaga nuklear yang dijadual menjelang 2031 dijangka membantu Malaysia untuk mencapai misi rendah karbon, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah itu yang digariskan di bawah Strategi A1.5 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka menangani pelbagai kebimbangan rakyat dalam isu keselamatan awam.

 

Tambahan pula katanya, tenaga nuklear menawarkan Malaysia kepada akses kapasiti beban asas rendah karbon boleh dipercayai dan meningkatkan jaminan bekalan elektrik tanpa ada gangguan tertentu.

 

"Kami difahamkan walaupun perancangan itu memerlukan modal tinggi pada peringkat awal, akhirnya nuklear disepadukan bersama tenaga boleh diperbaharui (RE)," kata MBSB Research dalam notanya.

 

RMK13 menyaksikan MyPOWER Corporation bertindak sebagai badan pelaksana program tenaga nuklear, yang bertanggungjawab untuk mentadbir mengikut piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

 

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Ais, pelaksanaan program tersebut hanya akan dimuktamadkan secara bersyarat.

 

Mengulas lanjut, MBSB Research berkata, langkah berkenaan menunjukkan kerajaan akan meneruskan rancangan itu setelah berpuas hati dan apabila orang ramai menerima penggunaan tenaga nuklear.

 

"Kami melihat penggunaan tenaga tersebut merupakan usaha perluasan RE untuk menyahkarbonkan grid tetapi pada masa sama, masih melaksanakan kewajipan berhubung isu keselamatan loji," tambahnya.

 

Justeru, firma berkenaan melihat pelaksanaan paling awal mungkin dalam dekad yang akan datang dan kerajaan ketika ini masih boleh meneroka teknologi baharu seperti reaktor modular berskala kecil.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research masih mengekalkan pendirian 'positif' terhadap sektor utiliti dan subsektor RE, disokong oleh dasar berstruktur untuk trajektori penyahkarbonan yang agak mendalam.

 

Ia juga selaras dengan sasaran di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan firma itu melihat solar kekal sebagai enjin pertumbuhan berbilang tahun, memanfaatkan banyak syarikat.

 

"Kami jangkakan pengeluar tenaga bebas (IPP) seperti Malakoff Berhad dan YTL Power International akan menjadi antara pelumba hadapan bagi skim loji janakuasa gas baharu," katanya. - DagangNews.com