KUALA LUMPUR 27 Nov – Dana Perlindungan Nasional B40 atau lebih dikenali sebagai mySalam dilaksanakan bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2023, namun kerajaan tetap meneruskan program itu sehingga tahun 2026.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, langkah itu selaras dengan komitmen Kerajaan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak dapat diduga.
Beliau berkata, selain mySalam, Program PeKa B40 dan Skim Perubatan MADANI turut diteruskan pelaksanaannya bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dalam mengurangkan beban kos rawatan kesihatan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan golongan itu.
“Pada tahun 2026, sebanyak RM130 juta telah disediakan bagi kedua-dua program ini,” katanya menjawab soalan lisan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang meminta penjelasan sama ada Kerajaan bercadang menambah atau memperbaharui dana skim mySalam selepas sumbangan RM2 bilion yang diterima pada 2019 semakin menyusut di Dewan Rakyat hari ini.
MySalam adalah sebuah skim perlindungan kesihatan percuma yang telah ditubuhkan di bawah akaun amanah persendirian dengan jumlah dana permulaan sebanyak RM2 bilion yang disumbangkan oleh Great Eastern Holding Limited (GEHL).
Penerima mySalam yang layak adalah terdiri daripada individu B40 dan pasangan yang juga penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan had umur kelayakan maksimum 65 tahun.
Lim berkata, antara manfaat yang disediakan di bawah mySalam adalah bayaran kemasukan ke wad yang ditetapkan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari atau RM700 setahun kepada penerima yang mendapat rawatan sama ada di hospital Kerajaan, hospital tentera atau hospital universiti.
“Selain itu, pembayaran sebanyak RM8,000 secara one-off diberikan kepada penerima yang disahkan mengalami 50 penyakit kritikal yang disenaraikan seperti kanser, penyakit buah pinggang dan serangan jantung.
“Selain itu, penerima mySalam turut layak membuat tuntutan kos peranti perubatan seperti stent untuk jantung dengan had kelayakan maksimum sebanyak RM30,000 seorang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) telah berkongsi maklumat dan data berkaitan pelaksanaan mySalam dengan pengendali takaful insurans dan penanggung insurans berlesen bagi menarik minat mereka untuk mempelbagai penawaran produk perlindungan takaful dan insurans kepada kumpulan B40. - DagangNews.com








