KUALA LUMPUR 30 Mei - PRG Holdings Bhd akan menghentikan operasi perniagaan penjagaan pantang apabila menjual semua 26.21% pegangan ekuitinya dalam Esther Postpartum Care Sdn Bhd (EPC) hanya dengan harga RM1.
Langkah itu dibuat bagi membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada perniagaan terasnya iaitu pembuatan, pembangunan hartanah dan pembinaan.
PRG Holdings berkata, anak syarikat milik penuhnya, PRG Healthcare Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jualan saham dengan pemegang saham terbesar EPC, Chou Chia Ching, untuk melepaskan 807,721 saham atau 26.21% pegangan dalam EPC.
Chia Ching kini memiliki 51% saham EPC, manakala YL Global Ventures Sdn Bhd memegang baki 22.79%.
Selepas urus niaga selesai, pegangan Chia Ching akan meningkat kepada 77.21%.
PRG Holdings menjelaskan, syarikat tidak pernah merekodkan sebarang keuntungan sejak pembelian pegangan dalam EPC pada 2018.
Tambahnya, pegangan 26.21% PRG Holdings dalam EPC diklasifikasikan sebagai pelaburan semata-mata dan tidak memberikan sebarang kawalan ke atas operasi EPC.
"Walaupun tiada kawalan operasi, PRG Holdings masih terdedah kepada risiko berkaitan perniagaan EPC.
"Pelupusan ini adalah langkah terbaik untuk mengurangkan risiko dan memberi tumpuan kepada bidang yang lebih berpotensi dan bernilai strategik," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Pelaburan itu telah ditulis sepenuhnya sebagai kerugian dalam akaun kumpulan.
Urus niaga tersebut tidak perlu mendapat kelulusan pemegang saham PRG Holdings dan tidak akan memberi kesan besar kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com








