KUALA LUMPUR 13 Jun – Sektor telekomunikasi Malaysia pada suku pertama 2025 (1Q25) mencatatkan pertumbuhan sederhana, susulan tekanan terhadap hasil purata setiap pengguna (ARPU), jalur lebar gentian (FBB), dan persaingan sengit dalam perkhidmatan mudah alih.
Kos yang kekal dan terkawal dapat membantu mengekalkan margin keuntungan.
RHB Research berkata, antara syarikat pilihan utama dalam sektor tersebut ialah Telekom Malaysia, CelcomDigi, dan Axiata Group.
Axiata mencatatkan prestasi terburuk setakat tahun ini dengan penurunan 18%, dipengaruhi pendedahan tinggi kepada pasaran luar negara, manakala Time Dotcom mencatatkan lonjakan tertinggi sebanyak 17% apabila pelabur beralih kepada saham berasaskan domestik yang lebih kukuh.
Berbanding negara serantau ASEAN-4, saham telekomunikasi Malaysia mengatasi Indonesia (-5%) tetapi ketinggalan berbanding Singapura (+10%), dan Thailand (+6%) yang menawarkan hasil dividen lebih tinggi.
Hasil industri mudah alih menurun 1.7% tahun ke tahun (YoY) atau 2.4% suku tahun ke suku tahun (QoQ) untuk dua syarikat utama.
Tambahan pelanggan runcit FBB turut merosot, menunjukkan tanda-tanda ketepuan pasaran.
"ARPU FBB untuk TM, Maxis, dan CelcomDigi susut antara 4% hingga 10% QoQ susulan diskaun harga dan intensif langganan. Hanya Time Dotcom mencatatkan prestasi kukuh dengan pendapatan FBB terus mengatasi pesaing, disokong oleh peluasan rangkaian gentian ke 1.9 juta premis," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi sektor secara keseluruhan menunjukkan penurunan pendapatan utama sebanyak -4% YoY, didorong oleh kemerosotan pendapatan perkhidmatan mudah alih (-4.7%) dan talian tetap (-2.4%).
Bagaimanapun, pendapatan utama masih berkembang lebih pantas pada 0.8% YoY, berbanding mudah alih yang merosot 1.7%.
Pemain industri menjangkakan separuh kedua 2025 (2H25) yang berhati-hati, didorong oleh kos borong 5G yang lebih tinggi serta potensi pelarasan dasar kepada kerangka 5G sedia ada.
Celcom-Digi (CDB) menjangka manfaat operasi lebih besar susulan penurunan kos integrasi menurun menjelang FY25. Kos tambahan RM320 juta akan ditanggung oleh CDB, Maxis dan YES bagi mengambil alih pinjaman pemegang saham Digital Nasional Berhad (DNB) dan ekuiti menjelang akhir 2025.
Firma penyelidikan turut menyemak semula unjuran pendapatan teras FY25-FY27 untuk Axiata dan OCK Group, dengan pelarasan terhadap Axiata susulan pemisahan XL Axiata yang kini diiktiraf semula sebagai syarikat bersekutu.
Antara risiko utama yang dikenal pasti ialah persaingan, pendapatan yang lebih rendah daripada jangkaan, dan perkembangan kawal selia yang tidak menggalakkan.- DagangNews.com








