Prestasi kewangan 99 Speed ​​Mart dipercayai kekal stabil dipacu oleh perkembangan rangkaian kedai - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi kewangan 99 Speed ​​Mart dipercayai kekal stabil dipacu oleh perkembangan rangkaian kedai - AmInvest

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb - Prestasi kewangan 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd diyakini kekal stabil disokong oleh permintaan keperluan asas kukuh di tengah-tengah turun naik pasaran dan perkembangan rangkaian kedai. 

 

AmInvestment Bank Research (AmInvest) menyukai rangkaian pasar mini tersebut kerana strategi perkembangannya untuk membuka lebih banyak cawangan di kawasan pedalaman Malaysia Timur. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelan perkembangan itu berada di landasan yang betul dan menjangkakan hasil yang memberangsangkan pada masa terdekat. 

 

"Kumpulan itu telah menambah 252 cawangan pada FY24 dan berada di landasan untuk mencapai 3000 kedai pada FY25.

 

"Pengurusan merancang untuk menambah 250 cawangan setahun dari FY25 sehingga FY27, dengan tumpuan berterusan pada kawasan pedalaman di Malaysia Timur dan Pantai Timur.

 

Untung bersih FY24 99 Speed Mart menaik 28.5% YoY kepada RM533.3 juta dipacu oleh perkembangan rangkaian kedai. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan tersebut  sejajar dengan ramalan dan konsensusnya, masing-masing memenuhi sebanyak 99% dan 102%. 

 

"Selain itu, segmen jualan pukal melalui pasaran e-dagang  dengan memenuhi keperluan pelanggan seperti rangkaian restoran kecil dan syarikat besar berjaya menyumbang 0.4%  jumlah hasil tahunan.

 

"Oleh itu, kami menaikkan saranan 99 Speed Mart kepada "beli" daripada "pegang" dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.60 sesaham. - DagangNews.com