KUALA LUMPUR 6 Ogos — Mah Sing Group Berhad mula meneroka peluang industri sarung tangan getah selepas mencatatkan prestasi kukuh jualan hartanah, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan tersebut dapat dilihat apabila kumpulan itu melaksanakan peralihan strategik ke arah penawaran bernilai lebih tinggi yang boleh membantunya dalam meningkatkan lagi margin operasi.
Tambahnya, bahagian pembuatan kumpulan berkenaan sedang membuat kemajuan dengan inovasi secara beransur-ansur pada tahun-tahun akan datang dengan membangunkan produk sarung tangan Kinoko.
"Kami difahamkan bahawa produk baharu ini menampilkan banyak ciri unik seperti kesan pelembab dan penyerapan peluh daripada tangan yang lazim dialami pengguna," kata HLIB dalam nota kajiannya.
Selain itu, firma berkenaan menambah, Mah Sing ketika ini juga sedang memastikan Kinoko berjaya menerima kelulusan daripada Pentadbiran Makanan dan Perubatan (FDA) di Amerika Syarikat (AS).
Usaha berkenaan katanya, untuk membolehkan produk itu dieksport ke negara itu dan Kinoko dijangka mendapat premium sebanyak AS$1.50 (RM6.34) setiap 1,000 helai berbanding sarung tangan standard.
Kumpulan tersebut kata HLIB, telah melihat tanda-tanda awal pemulihan dalam jualan sarung tangan pada tempoh 2Q25 dan menjangka pelancaran Kinoko akan memangkinkan momentum jualan pada 2H25.
"Penerokaan segmen baharu ini membuktikan Mah Sing berada pada kedudukan baik untuk kitaran naik hartanah, dipacu oleh kejatuhan kadar faedah dan faktor perbankan tanah yang berdisiplin," kata firma itu.
Secara strategik tambahnya, usaha kumpulan itu dalam hartanah perindustrian, disokong aliran masuk mantap pelaburan langsung asing ditambah dengan peningkatan aktiviti pembuatan plastik serantau.
HLIB berkata, permintaan pasaran besar yang berdaya tahan di samping pemulihan minat pelaburan dengan menawarkan tahap pertumbuhan baharu dijangka mempelbagaikan asas pendapatan kumpulan itu.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas Mah Sing dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.85 sesaham. - DagangNews.com








