Prestasi IPO di pasaran Malaysia mendahului rantau Asia Tenggara pada 1H25 - Deloitte | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prestasi IPO di pasaran Malaysia mendahului rantau Asia Tenggara pada 1H25 - Deloitte

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Julai — Malaysia menerajui pasaran modal tawaran awam permulaan (IPO) di ASEAN dengan 66 peratus atau AS$940 juta (RM3.99 bilion) pada separuh pertama 2025, menurut Deloitte.

 

Firma tersebut berkata, negara ini meneruskan momentum positif dari tahun lepas, menerajui bursa rantau Asia Tenggara dalam jumlah dana IPO yang diperoleh, permodalan pasaran dan bilangan IPO.

 

Eco-Shop Marketing Berhad mendahului jumlah IPO terbesar dengan AS$230 juta (RM978.26 juta), dan harga sahamnya meningkat enam peratus pada hari pertamanya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

"Dengan sejumlah 32 IPO pada 1H25, Malaysia mempunyai enam penyenaraian daripada 10 yang teratas di rantau ASEAN pada 2025," kata Deloitte dalam laporan pertengahan tahun yang disiarkan hari ini.

 

Selain itu tambah firma berkenaan, Malaysia turut merekodkan peningkatan sebanyak 48 peratus dalam bilangan penyenaraian, dengan jumlah IPO yang diterbitkan bertambah kira-kira 109 peratus.

 

Lonjakan yang sama katanya, juga dalam jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak 165 peratus manakala secara umum, pasaran modal Asia Tenggara merekodkan kira-kira 53 IPO pada enam bulan pertama 2025.

 

Keadaan tersebut tambah Deloitte, mengumpul secara keseluruhan lebih AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) hasil IPO dan mencapai sejumlah AS$7.7 bilion (RM32.75 bilion) dalam permodalan pasaran IPO.

 

"Sebagai perbandingan pada tempoh 1H24, kami merekodkan 67 IPO yang mengumpul kira-kira AS$1.4 bilion (RM5.95 bilion) dengan AS$5.8 bilion (RM24.67 bilion) dalam permodalan pasaran," katanya.

 

Sementara itu, Rakan Kongsi Sokongan Perakaunan Transaksi Deloitte Malaysia, Wong Kar Choon berkata, tinjauan prospek IPO di pasaran Malaysia kekal optimis untuk baki lagi enam bulan yang terakhir.

 

Beliau merekodkan potensi sejumlah 32 penyenaraian setakat 30 Jun 2025, meletakkan Bursa Malaysia di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran tahun penuhnya kepada sebanyak 60 penyenaraian.

 

Bagaimanapun katanya, tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik baru-baru ini telah mencetuskan ketidaktentuan, dan menjangkakan akan ada kesan lagi ke atas pasaran IPO.

 

"Keadaan ini mungkin membawa kepada sentimen pelabur yang berhati-hati dan menggunakan pendekatan berwaspada serta cenderung kepada IPO kurang berisiko dalam tempoh tidak menentu ini," katanya.

 

Kar Choon menambah, syarikat mungkin menangguhkan rancangan IPO mereka, terutama bagi yang dipacu eksport sekiranya terjejas oleh gangguan rantaian bekalan dan tekanan kos. - DagangNews.com