PPB berdepan kerugian sehingga RM600 juta susulan kegagalan kes Wilmar di Mahkamah Agung Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PPB berdepan kerugian sehingga RM600 juta susulan kegagalan kes Wilmar di Mahkamah Agung Indonesia

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept – PPB Group Bhd berdepan potensi kerugian kewangan sehingga RM600 juta sekiranya syarikat sekutunya, Wilmar International Ltd, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Agung Indonesia berhubung dakwaan salah laku dalam permit eksport minyak sawit.

 

Pengarah Urusan PPB, Lim Soon Huat, berkata jumlah tersebut — bersamaan kira-kira 45 sen sesaham — adalah berdasarkan pegangan PPB dalam deposit keselamatan berjumlah AS$729 juta (RM3.1 bilion) yang telah diserahkan oleh Wilmar kepada Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO).

 

“Namun itu adalah senario paling buruk. Kami yakin keputusan Mahkamah Agung Indonesia akan lebih memihak kepada Wilmar,” katanya semasa taklimat prestasi kewangan separuh pertama PPB hari ini.

 

 

 

 

 

 

Beliau juga menegaskan bahawa PPB belum membuat sebarang peruntukan kewangan terhadap kemungkinan kerugian tersebut.

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan undang-undang di Indonesia, PPB tetap mengumumkan dividen interim sebanyak 12 sen bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025), sama seperti tahun sebelumnya.

 

Soon Huat berkata PPB masih memiliki kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.3 bilion, dan menerima aliran tunai daripada pelaburan lain selain Wilmar.

 

“Setelah mengambil kira keperluan modal dan operasi, kami percaya kami masih mampu memberi ganjaran yang wajar kepada pemegang saham,” ujarnya.

 

Wilmar terus menjadi penyumbang utama keuntungan PPB. Bagi tahun kewangan 2024, Wilmar menyumbang sebanyak RM992 juta daripada jumlah keuntungan sebelum cukai kumpulan sebanyak RM1.33 bilion.

 

Namun bagi 2QFY2025, sumbangan Wilmar merosot 19% kepada RM197 juta, sejajar dengan penurunan keuntungan bersih kepada AS$251 juta, berbanding AS$277 juta setahun lalu.

 

PPB memegang 18.8% kepentingan ekuiti dalam Wilmar, menjadikannya syarikat sekutu yang signifikan.

 

 

 

 

 

 

Mengulas kemungkinan kumpulan akan mengurangkan penglibatannya di susulan ketidaktentuan undang-undang dan ketegangan sosial baru-baru ini, Soon Huat menegaskan bahawa PPB tidak bercadang untuk keluar dari pasaran tersebut.

 

“Sebaliknya, kami menambah pelaburan di Indonesia – bukan sahaja dari segi perniagaan, tetapi juga dalam infrastruktur dan keupayaan pengedaran,” katanya. - DagangNews.com