KUALA LUMPUR 2 Julai — Powerwell Holdings Berhad menerima tiga tempahan pembelian bernilai RM16.63 juta untuk pembekalan papan suis bagi pusat data berskala besar di Elmina Business Park, Selangor.
Pengeluar produk elektrik itu berkata, anak syarikatnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd menerimanya daripada RYBE Engineering (M) Sdn Bhd, Protech Builders Sdn Bhd dan LFE Engineering Sdn Bhd.
Kumpulan tersebut berkata, tempahan itu yang turut melibatkan pelbagai komponen, telah diterima secara berasingan antara April dan Julai 2025, serta dijangka dipenuhi menjelang suku pertama 2026.
"Tempahan berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan disatukan dan aset bersih Powerwell bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2026," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun tambahnya, ia tidak meramalkan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang dikaitkan dengan tempahan itu dan akan mengambil langkah untuk mengurangkan masalah tersebut.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Powerwell, Catherine Wong Yoke Yen berkata, tempahan ini mencerminkan keupayaan teknikal kumpulan dalam menyampaikan projek pusat data.
"Kami gembira meraih tempahan ini, yang membuktikan kepakaran teknikal yang kukuh dan rekod prestasi kami, setelah menyelesaikan banyak projek pusat data untuk banyak syarikat multinasional," katanya.
Beliau menambah bahawa buku tempahan tertunggak syarikat berkenaan pada akhir Mac 2025 ialah kira-kira RM116 juta, tidak termasuk yang terkini diterimanya. - DagangNews.com








