Potensi Kerjaya Prospek dijangka positif dipacu pelbagai perjanjian pengambialihan tanah - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Potensi Kerjaya Prospek dijangka positif dipacu pelbagai perjanjian pengambialihan tanah - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — Kerjaya Prospek Group Berhad dijangka merekodkan potensi pertumbuhan yang positif dipacu pelbagai perjanjian pengambilalihan tanah baru-baru ini, menurut TA Securities.


Firma tersebut berkata, selain itu pemeteraian usaha sama (JV) kumpulan berkenaan dengan beberapa pihak diramal memberi nilai petanda baik kepada perniagaan syarikat dalam tempoh jangka panjang.

 

Inisiatif itu katanya, menandakan langkah kumpulan pembinaan dan pembangunan hartanah ini mempelbagaikan asas pendapatan dan beransur-ansur mengembangkan jejaknya dalam sektor hartanah.


“Kami menganggarkan julat nilai pembangunan kasar (GDV) berpotensi antara kira-kira RM900 juta hingga RM1.7 bilion, berdasarkan andaian harga semasanya," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya.


Situasi itu dengan merujuk projek di Puchong, Selangor, menunjukkan nisbah kos tanah kepada GDV yang menarik, dan harga belian RM112.8 juta kekal jauh di bawah ambang konvensional kos tanah 20 peratus.


Tambah firma berkenaan, projek baharu tersebut juga terletak dalam jarak 1 kilometer dari ibu pejabat Kerjaya Prospek sendiri, yang memudahkan aktiviti penyeliaan dan penyelarasan operasi pembangunan.


Sementara itu kata TA Securities, JV dengan Aspen Vision Tanjung Sdn Bhd (AVT) menyediakan kemasukan modal ke koridor berprestij Tanjung Bunga, Pulau Pinang dan memperluaskan kehadiran di Wilayah Utara.


“Struktur JV kali ini membolehkan Kerjaya Prospek mengekalkan pembangunan sambil mengurangkan risiko pelaksanaan dan pendedahan modal sejajar dengan agenda pertumbuhan jangka panjang syarikat," katanya.


Kerjasama tersebut juga tambahnya, mencerminkan strategi terbaik kumpulan pemaju berkenaan untuk berusaha memanfaatkan asas AVT sendiri di Pulau Pinang dan kepakaran tempatan yang lebih pelbagai.


TA Securities berkata, satu jentera tujuan khas, Tanjung Bungah Development Sdn Bhd telah dibentuk bersama dengan Kerjaya Prospek memegang 60 peratus kepentingan manakala AVT pula bakinya.


Tambahan pula katanya, usaha berkenaan disokong dengan baik menerusi kunci kira-kira kukuh kumpulan itu yang dibantu oleh kedudukan teguh aliran tunai bersih syarikat tersebut sebanyak RM336.7 juta.


"Jika dilihat panduan pengurusan sebelum ini, ia boleh memanfaatkan kemudahan pembiayaan sehingga RM700 juta dengan selesa iaitu nisbah penggearan bersih 0.3 kali ganda terurus," kata firma itu.


Berdasarkan perkembangan positif itu, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas Kerjaya Prospek dengan harga sasaran yang juga tidak berubah sebanyak RM2.97 sesaham. - DagangNews.com