KUALA LUMPUR 7 Feb - Pos Malaysia Bhd melancarkan cawangan Pos Shop di Kota Kinabalu, Sabah yang menggabungkan pejabat pos yang beroperasi dengan ruang runcit yang selesa dan mesra.
Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional itu berkata, cawangan pertama Pos Shop di Malaysia Timur itu terletak di lokasi strategik di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu.
Dengan keluasan lebih 2,200 kaki persegi, Pos Shop Kota Kinabalu menawarkan perkhidmatan seperti penghantaran bungkusan, pembayaran bil, perkhidmatan tambah nilai telefon bimbit dan eWallet, serta pelbagai keperluan harian.
Cawangan ini juga menampilkan Pos Kafe yang popular, di mana pelanggan boleh menikmati kopi segar dan snek sedia dimakan.
Konsep inovatif kedai dalam kedai ini memberi nafas baharu kepada pejabat pos tradisional dan mencipta persekitaran runcit moden dan menarik di mana pelanggan boleh menyelesaikan urusan, berehat dan membeli-belah.
Pos Malaysia berkata, pelancaran cawangan itu menegaskan komitmen kumpulan dalam meningkatkan perkhidmatan mereka serta berkembang selaras dengan keperluan dan kehendak pengguna.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata,cawangan itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja merupakan lokasi pertama syarikat di Malaysia Timur, tetapi juga di Sabah.
"Ini adalah satu langkah penting yang mengukuhkan komitmen Pos Malaysia untuk mendekatkan perkhidmatan kami dengan rakyat Sabah.
"Namun ini baru permulaan. Kami percaya Pos Shop Kota Kinabalu akan menjadi pemangkin dalam menambah baikkan pengalaman runcit di Sabah.
"Melangkah ke hadapan, syarikat kekal berusaha untuk memenuhi sasaran kami iaitu menghubungkan kehidupan dan perniagaan demi masa hadapan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu Phoong berkata, Pos Shop adalah konsep transformatif yang menggabungkan peruncitan moden dengan kebolehpercayaan perkhidmatan pos tradisional.
"Dengan menambah baikkan perkhidmatan pejabat pos sebagai ruang serba guna yang berfokuskan pelanggan, Pos Malaysia meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan untuk semua rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com








