Polymer Link terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Polymer Link terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Julai — Polymer Link Holdings Berhad menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian syarikat pengeluar plastik serantau itu dalam Pasaran ACE.

 

Kumpulan tersebut berkata, ia akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 97,145,700 saham biasa baharu, selain tawaran penjualan 24,080,100 saham sedia ada.

 

Langkah berkenaan akan menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 121,225,800 saham biasa, dengan mewakili kira-kira 21.6 peratus daripada modal yang diperbesarkan sebanyak 560,000,070 saham biasa.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Polymer Link, Koh Song Heng ketika mengulas perkara itu berkata, perolehan IPO tersebut akan disalurkan untuk pengembangan operasinya di Australia.

 

"Ia juga untuk pemerolehan barisan pembuatan baharu di Malaysia bagi menyokong perniagaan serantau, serta pelaburan modal kerja untuk mengembangkan jualan kepada pelanggan di Poland," kata beliau.

 

Inisiatif strategik ini tambahnya, amat penting untuk menyokong fasa peningkatan syarikat itu dan beliau berbesar hati menerima kelulusan prinsip Bursa Malaysia untuk penyenaraian di Pasaran ACE.

 

Pencapaian ini juga kata Song Heng, mencerminkan dedikasi Polymer Link selama ini dan mengukuhkan komitmen jangka panjangnya untuk menyampaikan rumusan polimer kepada pelanggan di seluruh dunia.

 

Dengan kredibiliti dan sumber tambahan selepas disenaraikan, beliau yakin dengan keupayaan syarikat untuk mempercepatkan trajektori pertumbuhan dan mengukuhkan lagi kehadiran dalam pasaran serantau.

 

"Sejak ditubuhkan pada 2011, kami telah membina kehadiran kukuh secara berperingkat dalam rantaian bekalan rumusan acuan putaran dan serbuk plastik yang merentasi lebih 10 negara," kata beliau lagi.

 

Ia beroperasi melalui anak-anak syarikatnya di Malaysia, Filipina, India, Australia dan Amerika Syarikat (AS) serta mengendalikan tiga kemudahan pembuatan berasingan di Malaysia, Filipina, dan India.

 

Kumpulan tersebut turut dilengkapi dengan pejabat jualan luar negara yang terletak di Australia dan AS untuk menyokong portfolio pelanggannya yang pelbagai di seluruh rantau Asia Pasifik.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2024, Polymer Link mencatatkan jumlah hasil kira-kira RM145.4 juta, disumbangkan terutama daripada pasaran terbesarnya iaitu Filipina, India, Australia dan Malaysia.

 

Hong Leong Investment Bank Berhad dilantik kumpulan tersebut sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal untuk penerbitan IPO itu. - DagangNews.com