PMW International labur RM44 juta bina kilang cerucuk konkrit baharu di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMW International labur RM44 juta bina kilang cerucuk konkrit baharu di Perak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – PMW International Berhad melabur RM43.76 juta untuk membina sebuah kilang baharu pengeluaran cerucuk konkrit berputar di tanah seluas kira-kira 12 ekar (4.86 hektar) di Kawasan Perindustrian Bemban, Perak.

 

Langkah itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan daripada 238,000 tan metrik kepada 718,000 tan metrik apabila mula beroperasi menjelang suku ketiga 2027.

 

PMW berkata ia adalah kilang kelimanya di Ipoh yang akan memperluaskan jejak pembuatan kumpulan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk asas pembinaan  untuk projek infrastruktur di seluruh negara.

 

“Apabila siap kelak, kilang tersebut akan menghasilkan sehingga 40,000 tan metrik cerucuk konkrit berputar sebulan, sekali gus meningkatkan keupayaan PMW memenuhi permintaan daripada sektor infrastruktur, utiliti, perindustrian dan kejuruteraan.

 

“Pembiayaan pembangunan kilang itu akan disokong menerusi gabungan dana dalaman serta pinjaman bank, dengan Maybank Islamic menyediakan kemudahan pembiayaan bernilai keseluruhan RM54.5 juta.

 

“Selain membiayai kos pembinaan, kemudahan tersebut turut digunakan bagi pembelian mesin pengeluaran, kemudahan kredit pusingan, modal kerja serta pembiayaan perdagangan yang diperlukan untuk menyokong operasi Kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Selain itu, kontrak pembinaan bernilai kira-kira RM14.2 juta telah dianugerahkan kepada ECJ Construction bagi melaksanakan kerja pembinaan kawasan pengeluaran dan bangunan sokongan.

 

t

 

 

t

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PMW International, Lee Hon Hwa berkata pelantikan ECJ Construction sebagai kontraktor utama serta sokongan pembiayaan daripada Maybank Islamic mewujudkan asas kukuh untuk merealisasikan pembangunan kilang tersebut dan menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.

 

"Apabila siap nanti, kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran kami lebih dua kali ganda, malah memberikan fleksibiliti operasi yang lebih tinggi bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor pengangkutan, utiliti, telekomunikasi dan perindustrian.

 

"Dengan rangkaian kilang yang semakin meluas, kami yakin PMW berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan pertumbuhan pelaburan infrastruktur negara, di samping terus menjana nilai mampan kepada para pemegang saham," katanya.

 

Mengulas prospek perniagaan, PMW optimis terhadap pertumbuhan jangka panjang kumpulan yang disokong oleh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain peningkatan pelaburan dalam projek lebuh raya, naik taraf grid elektrik, bekalan air, taman perindustrian, pusat data dan rangkaian telekomunikasi yang dijangka terus merangsang permintaan terhadap penyelesaian asas pembinaan di Malaysia.

 

Selain pembangunan kilang di Bemban, kumpulan turut memperkukuh prospek pertumbuhannya menerusi beberapa inisiatif lain termasuk cadangan pembinaan kilang di Tanjung Manis, Sarawak, pembaharuan perjanjian bekalan jangka panjang dengan CTS Horizon Sdn Bhd.

 

PMW juga meraih kontrak bekalan cerucuk konkrit bernilai RM11.92 juta daripada SL Virtue Sdn Bhd bagi projek infrastruktur di Perak serta perjanjian bekalan bernilai RM11.84 juta bagi Projek Point of Presence Fasa 2 (POP2). - DagangNews.com