KUALA LUMPUR 9 April - PMW International Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) bagi membangunkan serta mengendalikan sebuah fasiliti pembuatan baharu di Tanjung Manis, Mukah, Sarawak.
Dalam satu kenyataan, PMW memaklumkan perjanjian langganan saham dan pemegang saham itu akan menyaksikan STIDC melanggan 20% saham biasa serta saham keutamaan boleh tebus (RPS) dalam PMW Winabumi (Sarawak) Sdn Bhd (PMWWS), anak syarikat milik penuhnya.
Menurut syarikat itu, kerjasama berkenaan selari dengan strategi PMW untuk mengukuhkan kehadiran di Malaysia Timur selain memperluas kapasiti pembuatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Permintaan tersebut didorong oleh pembangunan infrastruktur, peluasan grid elektrik serta inisiatif ekonomi digital dan pelaksanaan rangkaian 5G di negeri itu.

PMW yang merupakan penyedia penyelesaian infrastruktur bersepadu berkata, PMWWS akan menjadi entiti utama bagi membangunkan dan mengendalikan fasiliti pembuatan cerucuk dan tiang konkrit baharu di Tanjung Manis.
“Penyertaan STIDC sebagai rakan strategik berkaitan kerajaan negeri menyediakan sokongan institusi tempatan serta memudahkan penyelarasan dengan pelan pembangunan industri negeri.
“Selepas selesai langganan saham awal, PMW akan memegang 80% kepentingan ekuiti dalam PMWWS, manakala STIDC memiliki baki 20%,” katanya.
Di bawah perjanjian itu, STIDC akan menyumbang sebidang tanah perindustrian bagi pembangunan fasiliti berkenaan, yang menjadi sebahagian daripada struktur pembiayaan dan modal projek.
PMW turut memaklumkan, hasil daripada langganan RPS akan digunakan bagi perbelanjaan modal termasuk pembinaan, pembelian jentera dan peralatan, serta keperluan modal kerja. - DagangNews.com








