PMI pembuatan Mei 2025 naik kepada 48.8 mata akibat sektor pembuatan terus berhati-hati - S&P Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMI pembuatan Mei 2025 naik kepada 48.8 mata akibat sektor pembuatan terus berhati-hati - S&P Global

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 5 Jun – Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan Malaysia naik kepada 48.8 mata pada Mei berbanding 48.6 bulan sebelumnya, namun masih kekal di bawah paras neutral 50, menunjukkan aktiviti keseluruhan kekal dalam fasa penyusutan, kata S&P Global.

 

Sektor pembuatan dijangka terus berhati-hati dalam tempoh terdekat susulan ketidaktentuan dasar perdagangan global dan tekanan kos input yang berterusan, sekali gus menjejaskan kelancaran pengeluaran.

 

TA Research berkata, prospek sektor tersebut dipengaruhi oleh beberapa faktor, susulan permintaan global yang masih lemah, khususnya dari negara maju.

 

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pembuatan meningkat 4.1% pada suku pertama 2025 dan unjuran bagi suku kedua dijangka kekal dalam julat sama.

 

Namun, purata bacaan PMI bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 lemah pada 48.9, sedikit di bawah purata 49 yang dicatatkan sepanjang empat bulan pertama tahun ini, menandakan tekanan sederhana masih berterusan dalam sektor tersebut.

 

TA Research menjelaskan, bacaan PMI bagi Jun akan menjadi petunjuk utama, memandangkan sebarang perubahan ketara mampu mempengaruhi hala tuju indikator rasmi.

 

"Jangkaan terhadap peningkatan permintaan dalam tempoh 12 bulan akan datang menyokong unjuran pertumbuhan pengeluaran. Namun, keyakinan keseluruhan jatuh ke paras terendah sejak Jun 2021," katanya dalam satu nota kajian.

 

Tambahan pula, tekanan luaran turut meningkat susulan tindakan AS mengenakan tarif baharu, menyebabkan kesan harga input melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh enam bulan pada Mei. 

 

Pengeluar mengaitkan kenaikan tersebut dengan pergerakan kadar tukaran dan tarif ke atas input import, tetapi harga keluaran kekal stabil pada Mei selepas empat bulan berturut-turut penurunan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, paras pengeluaran kekal sederhana dalam tempoh kajian terkini, dengan indeks keluaran yang diselaraskan secara bermusim terus berada di bawah paras neutral 50, sekali gus menunjukkan aktiviti masih merosot.

 

Paras pekerjaan menunjukkan tanda kestabilan pada pertengahan suku kedua 2025, sekali gus menamatkan tujuh bulan berturut-turut pengurangan tenaga kerja. Namun, kelemahan dalam kemasukan pesanan baharu membolehkan firma itu menyelesaikan kerja tertunggak, menyebabkan sedikit penurunan dalam tunggakan.

 

"Keadaan perniagaan yang perlahan turut diburukkan oleh kenaikan berterusan dalam kos operasi," tambah TA Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran sektor pembuatan akan terus berhati-hati dalam tempoh terdekat, sementara menunggu kejelasan mengenai permintaan global dan hala tuju dasar perdagangan antarabangsa.- DagangNews.com