PMCK yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia 2 bulan lalu, catat untung bersih RM884,000 pada 1Q | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMCK yang baru disenaraikan di Bursa Malaysia 2 bulan lalu, catat untung bersih RM884,000 pada 1Q

PMCK mengendalikan Putra Medical Centre di Alor Setar
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 30 Sept - Penyedia perkhidmatan kesihatan berpusat di Kedah, PMCK Bhd yang disenaraikan di Pasaran ACE pada Julai lalu, berkata ia sedang memperluas fasiliti, perkhidmatan pakar dan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan kesihatan yang semakin meningkat di wilayah utara.

 

Kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM884,000 bagi suku pertama berakhir 31 Julai 2025, dengan hasil sebanyak RM21.76 juta. Perkhidmatan sokongan kesihatan menyumbang 68.78% daripada jumlah hasil, kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Dengan faktor penuaan penduduk Malaysia serta peningkatan penyakit berkaitan gaya hidup yang dijangka terus memacu permintaan, kumpulan itu berkata ia berada pada kedudukan kukuh untuk merebut pertumbuhan, membina kesetiaan pesakit dan menjana kelestarian jangka panjang.

 

PMCK berkata ia sedang meningkatkan kapasiti dengan merekrut lebih ramai pakar dalam bidang berpermintaan tinggi seperti kardiologi, pediatrik dan pembedahan am. Langkah kecekapan termasuk naik taraf peralatan perubatan serta inisiatif kelestarian seperti penggantian panel solar juga dijangka menyokong margin dalam tempoh sederhana.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PMCK catat permulaan positif di Pasaran ACE

 

Dana yang diperoleh daripada IPO bernilai RM59.97 juta sebahagiannya akan digunakan untuk membiayai pembinaan pusat perubatan swasta di Kulim bagi memenuhi permintaan belum diteroka di kawasan tersebut.

 

Kumpulan kini mengendalikan Putra Medical Centre di Alor Setar, yang menawarkan khidmat perunding pakar, rawatan kecemasan dan sokongan klinikal melalui 40 pakar merentasi 17 disiplin.

 

Pada Jun lalu, kumpulan itu turut menyertai Program Penyumberan Luar Perkhidmatan Hospital Kementerian Kesihatan, yang dijangka meningkatkan aliran pesakit dalam bidang utama seperti kardiologi, radiologi dan pembedahan, di samping menyelaraskan operasi dengan keutamaan kesihatan negara.

 

“Bersama peluasan perkhidmatan, inisiatif pendigitalan dan langkah kecekapan operasi, kumpulan berada pada kedudukan baik untuk merebut pertumbuhan industri dan mewujudkan nilai mampan jangka panjang,” katanya.

 

PMCK menambah, kumpulan juga dijangka menerima penyelesaian penuh sebanyak RM6.01 juta daripada pembekal utama berkaitan vaksin Covid-19 yang tidak dihantar menjelang suku pertama 2026.

 

Saham PMCK ditutup meningkat satu sen atau 5.56% kepada 19 sen pada Isnin, memberikan nilai pasaran sebanyak RM207.21 juta. Bagaimanapun, kaunter itu telah susut lebih 13% daripada harga IPO sebanyak 22 sen sesaham. - DagangNews.com