PMCK diramal catat pertumbuhan hasil tinggi hingga FY27 disokong perolehan kukuh - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PMCK diramal catat pertumbuhan hasil tinggi hingga FY27 disokong perolehan kukuh - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Julai — PMCK Berhad diramal mampu mencatatkan pendapatan teras lebih tinggi sehingga tahun kewangan 2027 berbanding ketika ini, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu yang akan disenaraikan di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 9 Julai 2025 sebenarnya disokong teguh oleh dua faktor perniagaannya selama ini.


Penyedia penjagaan kesihatan swasta berpangkalan di Kedah itu tambahnya, dapat dijana peningkatan kapasiti bilik bagi menampung pertambahan pesakit dalam dan kadar kepadatan hasil yang lebih kukuh.


"Kami unjurkan pendapatan teras PMCK berkembang positif pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.8 peratus sepanjang tiga tahun," kata HLIB Research dalam nota kajiannya.


PMCK mengendalikan pusat perubatan swasta di Alor Setar dengan 121 katil menawarkan perkhidmatan perunding pakar, rawatan pesakit dalam dan luar, diagnostik klinikal dan perkhidmatan farmasi.


Pada 1 Julai 2025, kumpulan berkenaan menerima lebihan langganan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 1.87 kali menerusi 2,512 permohonan melibatkan 156.25 juta saham bernilai RM34.37 juta.


HLIB Research berkata, PMCK dinilai 22 sen sesaham, berdasarkan 10 kali ganda nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) pada ramalan 2026.


"Ini mencerminkan diskaun 25 peratus kepada purata sektor sebanyak 13.5 kali dan ia adalah wajar kerana PMCK mempunyai kehadiran geografi yang terhad, terutama hanya tertumpu di Kedah," katanya.


Tambahnya, tidak seperti IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad, yang menawarkan penjagaan tertiari, PMCK beroperasi sebagai hospital komuniti yang menyediakan fokus penjagaan sekunder.


Unjuran CAGR untuk pendapatan selama tiga tahunnya sebanyak 3.8 peratus juga kata HLIB Research, adalah ketinggalan berbanding masing-masing sebanyak 9.7 peratus bagi IHH dan 9.2 peratus bagi KPJ.


Bagaimanapun kata firma berkenaan, PMCK turut menyediakan pelbagai perkhidmatan profesional dan tambahan yang merangkumi penjagaan pergigian am, rawatan poliklinik dan ujian makmal perubatan.


Pada masa ini tambahnya, PMCK mengendalikan pusat perubatan swasta bersama-sama dengan poliklinik yang serba lengkap, dua klinik pergigian dan makmal perubatan moden. - DagangNews.com