PM Anwar selar tindakan segelintir pihak pertikai usaha Malaysia bantu penduduk Gaza | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar selar tindakan segelintir pihak pertikai usaha Malaysia bantu penduduk Gaza

KUALA LUMPUR 31 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pihak yang mempertikaikan keputusan Malaysia membantu penduduk Gaza membina semula kehidupan mereka.

 

Beliau menegaskan, apa yang berlaku di Palestin merupakan malapetaka dahsyat pernah menimpa manusia sejak berakhirnya perang dunia kedua dan lebih menyedihkan ia melibatkan umat Islam.

 

“Perasaan hati manusia bagaimana ini, kita tolong orang kampung lain, orang akan kata kampung kamu pun belum selesai, tetapi dalam Islam tidak pernah fikir begitu.

 

“Kesengsaraan yang dihadapi umat Islam Gaza, Palestin jarang berlaku, dalam hidup kita sejak perang dunia kedua sampai sekarang inilah malapetaka paling dahsyat.

 

“Hancur lebur negerinya, dihina terus, tidak diberi pengiktirafan sama sekali, anak kecil sekolah habis dimusnahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh, hari ini.

 

Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.

 

Rafidah dilaporkan berkata, perhatian perlu diberikan kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.

 

Sebelum ini media melaporkan, Malaysia akan membangunkan Bandar Wakaf di Gaza melalui Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza, yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat selepas bulan Ramadan.

 

Projek berimpak tinggi itu berada di bawah naungan Anwar selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.

 

Langkah itu bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan tetapi juga memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan Palestin.

 

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan, segala permasalahan yang dialami oleh negara tidak mungkin dapat diselesaikan semua dan dalam kekurangan Malaysia wajar bersikap prihatin khususnya membantu saudara seagama.

 

Beliau pada masa sama memberitahu, negara kini berdepan dengan sentimen politik kebencian yang biasanya dimainkan oleh pihak tidak faham akan situasi semasa.

 

“Saudara, sampai kiamat pun masalah-masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang di mana-mana. Tetapi kita lakukan sedikit (bantu penduduk Gaza),” katanya lagi. - DagangNews.com