KUALA LUMPUR 22 Julai — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan membuat satu pengumuman besar mengenai penghargaan kepada semua rakyat Malaysia pada 23 Julai 2025.
Beliau berkata, pengumuman tersebut akan disiarkan secara serentak pukul 10.30 pagi esok menerusi stesen penyiaran termasuk RTM, Bernama TV, Media Prima, Astro Awani, TV Sarawak dan TV AlHijrah.
Menerusi hantaran dalam pelbagai akaun media sosial rasminya hari ini, beliau berkata, pengumuman berkenaan juga boleh diikuti para penonton menerusi platform Facebook Live pada waktu tersebut.
"Insya-Allah, esok saya akan umumkan penghargaan yang dijanjikan sebagai tanda keprihatinan Kerajaan MADANI kepada rakyat Malaysia yang sentiasa teguh bersama dalam setiap langkah reformasi.
"Moga pengumuman ini membawa manfaat buat rakyat terbanyak, dan menjadi cerminan usaha kita bersama untuk membina masa depan yang lebih adil dan sejahtera," nukil Anwar ringkas dalam hantaran itu.
Semalam, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya berkata, pengumuman tersebut akan dilakukan sama ada hari ini atau esok.
Ia susulan hantaran Perdana Menteri dalam laman sosial Facebooknya minggu lalu yang memaklumkan akan membuat satu pengumuman besar sebagai penghargaan luar biasa untuk rakyat. - DagangNews.com








