Plenitude lancar projek Mandolin Residences, tampilkan 712 unit pangsapuri servis di Johor Bahru | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Plenitude lancar projek Mandolin Residences, tampilkan 712 unit pangsapuri servis di Johor Bahru

Mandolin Residences
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Julai – Plenitude Berhad melancarkan Mandolin Residences, projek pembangunan pangsapuri servis pegangan bebas yang menawarkan 712 unit kediaman bertingkat moden di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru.

 

Terletak dalam kawasan pembangunan seluas 965 ekar (390.5 hektar), Mandolin Residences terdiri dari dua blok kediaman dengan lima pilihan susun atur unit berkeluasan antara 528 kaki persegi hingga 1,017 kaki persegi.

 

Pilihan kediaman yang ditawarkan merangkumi unit studio, dua bilik tidur, tiga bilik tidur serta beberapa pilihan dwi-kunci (dual key) dengan harga permulaan RM326,400 bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pembeli termasuk pembeli rumah pertama, golongan profesional muda dan isi rumah pelbagai generasi.

 

Projek berkenaan dibangunkan dalam ekosistem Taman Desa Tebrau yang sudah mempunyai kemudahan lengkap merangkumi sektor runcit, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup, menjadikannya antara faktor tarikan utama kepada bakal penghuni.

 

Antara kemudahan berhampiran Mandolin Residences termasuk AEON Tebrau City, IKEA Tebrau, Toppen Shopping Centre, Lotus’s Tebrau, Hospital Sultan Ismail, Sunway College JB, Maple International School serta Austin Heights Private and International School.

 

t

 

 

t

 

Dari aspek kesalinghubungan, pembangunan itu mempunyai akses mudah menerusi rangkaian jalan utama seperti Lebuhraya Pasir Gudang, Eastern Dispersal Link (EDL) dan Lebuhraya PLUS sebagai akses mudah menghubungkan penghuni ke pelbagai lokasi penting sekitar Johor Bahru.

 

Antara kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang, gimnasium, ruang santai (sunken lounge), dewan serbaguna serta pelbagai ruang dalaman dan luaran untuk aktiviti keluarga serta sosial.

 

Bagi memenuhi keperluan keluarga moden, pembangunan itu turut dilengkapi taman permainan kanak-kanak di dalam dan luar bangunan, bilik bayi serta pusat jagaan kanak-kanak di aras bawah.

 

Setiap blok kediaman juga mempunyai Sky Garden di Aras 30 yang menawarkan ruang santai dan interaksi sosial dengan pemandangan panorama landskap sekitar serta latar langit Johor Bahru.

 

t

 

Ketua Pegawai Eksekutif Plenitude Berhad, Anthony Ng berkata, Mandolin Residences mengambil inspirasi daripada alat muzik mandolin yang menggambarkan gabungan pelbagai elemen untuk menghasilkan sebuah melodi yang harmoni.

 

Menurut beliau, pembangunan itu menggabungkan aspek penting yang diperlukan pembeli rumah masa kini termasuk lokasi dalam perbandaran matang, reka bentuk kediaman terancang, kemudahan gaya hidup lengkap, sistem keselamatan pintar serta kemudahan harian yang menyokong gaya hidup keluarga moden.

 

Selain menawarkan kemudahan gaya hidup, Mandolin Residences turut mengintegrasikan ciri kehidupan lestari menerusi reka bentuk pasif bagi meningkatkan pengudaraan semula jadi, penggunaan lampu cekap tenaga, sistem pengumpulan air hujan serta infrastruktur untuk pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV). 

 

Projek itu menjadi kesinambungan komitmen Plenitude dalam membangunkan komuniti kediaman berkualiti di Taman Desa Tebrau serta pelbagai pembangunan lain di seluruh Malaysia. - DagangNews.com