KUALA LUMPUR 19 Jan - PJBumi Heavy Engineering & Services Sdn. Bhd. (PJBumiHES), anak syarikat milik penuh PJBumi Berhad, memeterai perjanjian usaha sama strategik dengan INTLEF Horizon Pressure Control (Jiangsu) Co., Ltd bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama baharu untuk pembuatan dan penyelenggaraan peralatan medan minyak di Malaysia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut memberitahu perjanjian usaha sama yang dimeterai pada 15 Januari 2026 itu akan menyaksikan penubuhan syarikat usaha sama (JVco) yang memberi tumpuan kepada pembuatan, pemasangan, ujian dan penyelenggaraan peralatan kawalan kepala telaga dan Blowout Preventer (BOP) bagi pasaran Malaysia, Indonesia dan rantau lain.
JVco akan menubuhkan loji operasinya di atas tanah milik PJBumi di Bandar Sungai Petani, Kuala Muda, Kedah, atau di lokasi lain yang dipersetujui bersama dari semasa ke semasa.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha sama ini menggabungkan teknologi pembuatan termaju INTLEF dengan kehadiran tempatan serta kepakaran kawal selia PJBumiHES, sekali gus menyokong aspirasi Dasar Tenaga Nasional Malaysia untuk meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import.
Antara objektif utama penubuhan JVco adalah untuk:
menembusi pasaran peralatan kawalan kepala telaga dan BOP di Malaysia;
mewujudkan sinergi teknikal melalui peralihan daripada pengimport kepada pengeluar dan pemasang tempatan; serta
membangunkan hab Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) bagi menyokong operasi tempatan dan pengurusan integriti aset.
Dari segi struktur ekuiti, PJBumiHES akan memegang 60% kepentingan, manakala INTLEF memiliki baki 40%. JVco akan dimulakan dengan modal berbayar minimum RM1,000, dengan peningkatan modal secara berperingkat mengikut keperluan projek.
Lembaga pengarah JVco akan terdiri daripada lima orang ahli, dengan tiga pengarah dilantik oleh PJBumiHES dan dua oleh INTLEF. Kedua-dua pihak juga boleh menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan bagi memantau operasi JVco dan mengawal perbelanjaan projek.
PJBumi berkata, keuntungan dan lebihan daripada usaha sama tersebut akan ditentukan melalui persetujuan lanjut, dengan agihan dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pengurusan selepas semua kos dan liabiliti diselesaikan.
“Usaha sama ini membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kepakaran, teknologi dan sumber masing-masing bagi membangunkan keupayaan pembuatan peralatan medan minyak di Malaysia, sekali gus meningkatkan rantaian nilai industri tenaga tempatan,” menurut kenyataan itu.
Perjanjian usaha sama ini akan kekal berkuat kuasa sehingga semua obligasi dan komitmen berkaitan projek diselesaikan sepenuhnya, tertakluk kepada terma penamatan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. - DagangNews.com








