PHB tawarkan 300 juta unit AHB kepada pelabur Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PHB tawarkan 300 juta unit AHB kepada pelabur Bumiputera

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud berkenan mencemar duli merasmikan Mayang Mall di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.
Oleh Muhammad Iman

KUALA TERENGGANU 23 Jun – Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengumumkan pembukaan 300 juta unit Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) tersedia yang boleh dilanggan oleh pelabur Bumiputera di seluruh negara dengan tumpuan khas kepada wilayah Pantai Timur.

 

Pengerusi PHB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, tawaran ini merupakan peluang terbaik untuk Bumiputera menjadikan AHB sebagai instrumen utama pelaburan dan simpanan yang berisiko rendah serta disokong oleh aset hartanah sebenar.

 

 

 

 

 

“Selari dengan slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, kerjasama erat antara PHB dan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuh. Ia bukan hanya melalui pelaburan hartanah tetapi juga dalam menyampaikan mandat sosial PHB kepada masyarakat Bumiputera di Terengganu menerusi penyertaan dalam AHB.

 

“Kami yakin dengan kerjasama erat ini, PHB dapat melabur di dalam aset-aset berprestasi tinggi dengan pulangan pelaburan yang stabil dan seterusnya menyumbang secara langsung kepada pembangunan hartanah Bumiputera yang mampan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Mayang Mall di sini, pada Sabtu.

 

Mayang Mall merupakan aset pertama PHB di Pantai Timur.

 

 

Fudzail
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud tiba pada majlis perasmian Mayang Mall di Kuala Terengganu pada Sabtu lalu.

 

HAWANA
Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berucap pada majlis perasmian Mayang Mall yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud pada Sabtu lalu.

 

 

Bagi memberi maklumat lanjut kepada orang ramai, reruai AHB dibuka di Mayang Mall dari 19 hingga 28 Jun 2025 bagi tujuan pendaftaran dan pertanyaan pelaburan.

 

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud berkenan mencemar duli merasmikan Mayang Mall yang merupakan mercu tanda baharu di bandaraya ini.

 

Berangkat sama ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta  Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit.

 

 

PHB
Mohamad Damshal Awang Damit, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB (tengah) bersama Norani Mustapha, Ketua Pegawai Pelaburan PHB (kiri) dan Fauziah Mohd Azali, Ketua Syarikat PHB Property Ventures Berhad atau PHBPV (kanan).

 

 

Mengulas lanjut, Mohamad Damshal berkata, pihaknya telah menyediakan platform digital MyAHB yang boleh diakses oleh pelabur sekali gus memudahkan urusan pelaburan mereka.

 

“Menerusi platform digital ini, pemegang unit individu boleh membuka akaun AHB secara langsung, menyemak pegangan unit, melanggan dan menebus unit serta mengurus maklumat akaun dengan selamat dan cekap,” jelasnya.

 

Tambah beliau, sehingga April 2025, bilangan pemegang unit AHB di Terengganu  sahaja ialah sekitar 2,772 pelabur dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak RM109 juta. 

 

"Justeru, kita mahu tingkatkan angka ini dengan memberi kesedaran mengenai kepentingan celik kewangan dan akses kepada instrumen pelaburan yang stabil serta patuh Syariah,” katanya 

 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa PHB turut merancang meluaskan pelaburan ke dalam sektor pendidikan dan penjagaan kesihatan di Terengganu iaitu dua bidang yang dikenal pasti sebagai berimpak tinggi terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri dalam jangka panjang.

 

“Pelaburan strategik ini selaras dengan komitmen PHB terhadap Agenda Ekonomi Madani yang memberi fokus kepada kemampanan, kebolehcapian dan nilai untuk rakyat, terutama di negeri-negeri Pantai Timur,” ujar beliau. - DagangNews.com