KUALA LUMPUR 16 Julai — Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berusaha membangunkan dua hab penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negeri itu pada kos yang lebih rendah.
Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Petros, Datuk Abang Arabi Abang Narudin berkata, syarikat itu dalam penyediaan infrastruktur bagi membolehkan kedua-dua hab tersebut dibina pada kos yang ekonomi.
Tambahnya, kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur manakala tujuan hab itu adalah untuk menyediakan prasarana bersama agar fasiliti itu mencapai skala yang berpatutan.
"Dengan cara itu, kos pembangunan CCUS menjadi lebih rendah," katanya sambil menambah, walaupun teknologi CCUS telah lama wujud, sumber perlu digunakan dan dioptimumkan untuk mengurangkan kos.
Langkah berkenaan kata Abang Araibi, menjadikannya lebih mampu milik manakala kejelasan dari segi dasar dan peraturan juga sangat penting kerana pelabur yang melabur dalam CCUS memerlukan kepastian.
Kata beliau, mereka sebenarnya ingin mengetahui bagaimana perniagaan dilakukan di Sarawak dan ini termasuk sama ada pelabur memerlukan lesen dan permit kerana pelaburan CCUS bersifat jangka panjang.
Beliau menambah bahawa Petros memainkan banyak peranan yang penting dalam mengubah Sarawak untuk menjadi hab ekonomi rendah karbon bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Tenggara.
Beberapa hari lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg membayangkan Petros dapat memainkan peranan sebagai dana kekayaan negara dengan pelaburan dalam sektor selain minyak dan gas.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak itu berkata, beliau sedang mengambil pelbagai maklumat daripada Singapura serta badan pengurusan dana negara tersebut, Temasek Holdings Pte Ltd dan GIC Pte Ltd.
"Jika Petros (ada) kekuatan, mengapa tidak melabur dalam bidang lain?" katanya sambil menambah, langkah syarikat itu lebih kepada keputusan perniagaan berbanding keputusan oleh kerajaan negeri.
Abang Johari berkata, sebahagian daripada pendapatan Petros menerusi usaha perniagaan sepatutnya disalurkan semula ke negeri berkenaan kerana ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
Tahun lalu, beliau melancarkan Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak dengan kerajaan negeri memperuntukkan antara RM400 juta sehingga RM600 juta setiap tahun untuk permodalan berkenaan.
Pada Mei 2025, dana itu diberi kebenaran daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat pelaburan global, dengan Abang Johari menyifatkan sebagai penting mempelbagaikan portfolio. - DagangNews.com








