KUALA LUMPUR 11 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menolak laporan media mengatakan ia mahu menjual keseluruhan asetnya di Kanada, sebaliknya syarikat minyak negara ini berhasrat memperluaskan kehadirannya di Amerika Utara itu,
Malah, kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab, langkah tersebut adalah seiring dengan kedudukan Kanada kini yang menjadi satu daripada pembekal utama gas asli cecair (LNG) kepada PETRONAS.
Menurut beliau, PETRONAS memiliki kira-kira 50 trilion kaki padu (TCF) gas di Kanada, manakala projek LNG Canada ketika ini hanya berada di Fasa 1, justeru syarikat tenaga itu telah memulakan beberapa projek LNG baharu yang disokong oleh portfolio sumber tersebut.
“Dengan 50 TCF, kita mampu menyokong beberapa lagi projek LNG kerana saiz sumber bukanlah isu di sini,” katanya pada sesi taklimat bersama editor pada Isnin.
Mohd Jukris turut menyatakan harapan agar kerajaan Kanada memberikan sokongan bagi melaksanakan projek LNG tambahan.

“Kami mahu memperluaskan lagi kehadiran di sana dan melihat Kanada sebagai satu daripada pangkalan bekalan LNG utama kami pada masa hadapan,” ujarnya.
Pada 8 Julai lalu, PETRONAS telah berjaya menghantar kargo LNG pertama dari fasiliti LNG Canada di Kitimat, British Columbia.
Syarikat itu mengendalikan projek huluan gas usaha sama North Montney dan merupakan rakan ekuiti utama dalam LNG Canada, sebuah fasiliti LNG bernilai AS$40 bilion (RM169.38 bilion).
Mengulas mengenai kehadiran antarabangsa, Mohd Jukris berkata PETRONAS telah mengukuhkan kedudukannya di beberapa negara termasuk Brunei, Indonesia, Vietnam, Turkmenistan, Abu Dhabi, Kanada dan Suriname.
“Kita berkembang di beberapa negara ini, dan sebahagiannya telah dikenal pasti sebagai ‘heartlands’ kami.
"Sebagai contoh, kita sedang mempersiapkan diri untuk membangunkan penemuan gas optikal pertama di Suriname, sambil terus membina telaga penerokaan di negara tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, PETRONAS bercita-cita mengembangkan perniagaan antarabangsa dengan menyasarkan sumbangan hasil daripada aset luar negara melebihi 60 peratus berbanding 40 peratus ketika ini.
“(Namun,) ini tidak bermakna pelaburan di Malaysia akan menjadi kurang signifikan. Saya fikir pelaburan di Malaysia akan terus menjadi portfolio teras pelaburan kami,” katanya. - DagangNews.com








