KUALA LUMPUR 4 Feb - PETRONAS LNG Ltd (PLL), anak syarikat PETRONAS, menandatangani perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun dengan QatarEnergy, menandakan kerjasama jangka panjang pertama antara kedua-dua syarikat dalam sektor LNG.
Di bawah perjanjian ini, PLL akan mengambil sehingga dua juta tan metrik setahun (MTPA) LNG daripada QatarEnergy bagi tempoh 20 tahun, satu langkah yang dijangka mengukuhkan keselamatan bekalan tenaga Malaysia dan memastikan ketersediaan LNG yang stabil untuk memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat.
Majlis menandatangani SPA tersebut disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga dan Presiden & CEO QatarEnergy, Saad Sherida Al-Kaabi, di Doha sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Gas Asli Cecair ke-21, LNG2026.
Tengku Muhammad Taufik berkata perjanjian ini merupakan pencapaian penting bagi PETRONAS dalam memperkukuh keselamatan tenaga negara.
"Bekalan LNG melalui kerjasama dengan rakan industri terkemuka seperti QatarEnergy melengkapkan kargo daripada hab LNG kami di Malaysia dan Kanada, sekaligus mempelbagaikan nod bekalan serta membuka laluan baharu untuk menjana nilai dan kecekapan lebih tinggi,” kata dalam kenyataan.
Tambahnya, kerjasama strategik ini dijangka meningkatkan daya tahan portfolio PETRONAS di tengah landskap tenaga global yang berubah, selain menyokong pembangunan ekonomi negara dan agenda peralihan tenaga mampan.
Ia turut mencerminkan komitmen bersama PETRONAS dan QatarEnergy untuk memperkukuh kerjasama merentasi rantaian nilai LNG, dengan fokus ke arah portfolio gas yang bersedia untuk masa depan dan lestari.
Perjanjian ini juga menandakan asas kukuh yang terjalin antara kedua-dua pihak selama bertahun-tahun, serta menyediakan platform bagi menjana nilai jangka panjang dan menyokong kemajuan praktikal ke arah tenaga mampan. - DagangNews.com








