KUALA LUMPUR 11 Ogos – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sedang melaksanakan tinjauan strategik terhadap portfolio huluannya bagi memperkukuh daya saing dan kelestarian syarikat dalam tempoh sedekad akan datang, susulan industri minyak dan gas global berdepan tekanan geopolitik, teknologi dan dasar yang semakin meningkat.
Dalam sesi taklimat bersama editor pada Isnin, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan PETRONAS, Mohd Jukris Abdul Wahab menegaskan keperluan syarikat untuk bertindak dengan lincah serta berwawasan ketika mengharungi landskap tenaga yang pantas berubah.
“Kita perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, termasuklah geopolitik, perubahan perundangan di pelbagai bidang kuasa, dasar yang berubah-ubah serta konflik global yang mempengaruhi pasaran tenaga.
“Masa depan akan menjadi sangat kompleks dan mencabar. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri bagaimana kita mahu memposisikan Petronas menjelang 2035,” katanya.

Mohd Jukris turut menekankan PETRONAS telah mencatatkan prestasi kukuh secara konsisten sepanjang lima dekad lalu, berkembang daripada sebuah syarikat nasional kecil kepada pemain antarabangsa yang disegani.
Beliau berkata, walaupun PETRONAS kekal sebagai syarikat minyak nasional, ia beroperasi dan bersaing seperti syarikat minyak antarabangsa (IOC) dari segi pelaksanaan operasi dan keupayaan komersial.
“Kita telah melalui perjalanan jauh dan kini mampu berdiri setaraf dengan IOC lain. Namun, untuk kekal relevan, kita mesti terus menilai dan membentuk semula portfolio kita, sebagaimana pemain utama industri lain,” ujarnya.
Strategi ini memberi penekanan kepada keberkesanan modal, penerapan teknologi serta pemaksimuman keberkesanan operasi, di samping kekal selari dengan aspirasi negara dan mengekalkan penciptaan nilai kepada pihak berkepentingan.
PETRONAS juga memantau rapat trend baharu seperti kecerdasan buatan (AI), evolusi tenaga kerja, dan pembangunan mampan bagi membentuk pelaburan masa depannya.
Mohd Jukris berkata, fokus kumpulan tidak hanya terhad kepada pengeluaran, malah merangkumi keseluruhan rantaian nilai – daripada penemuan dan pembangunan sehingga ke penghantaran.
“Persoalannya ialah bagaimana kita boleh melaksanakan ini dengan lebih baik, pantas dan kompetitif,” tambahnya.
Seiring perancangan hala tuju masa depan, bahagian huluan dijangka memainkan peranan penting dalam membina daya tahan dan membuka nilai jangka panjang merentasi portfolio global syarikat. - DagangNews.com







