KUALA LUMPUR 11 Feb – PETRONAS melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), hari ini melancarkan Malaysia Bid Round 2026 (MBR 2026) dengan tawaran sembilan blok eksplorasi dan enam Peluang Sumber Ditemui (Discovered Resource Opportunities), bagi mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan premium.
Dalam kenyataan PETRONAS berkata, blok-blok yang ditawarkan merangkumi blok hadapan berimpak tinggi di Sandakan Basin, blok berpotensi tinggi di emerging West Sarawak Basin, serta blok near-field dengan konsep permainan baharu di Malay Basin yang matang.
Sementara itu, enam Peluang Sumber Ditemui menyediakan laluan sedia dibangunkan untuk penjanaan hasil segera.
“Permintaan tenaga Malaysia yang meningkat, didorong oleh pengembangan ekonomi digital dan asas pembuatan negara, memerlukan pelaburan huluan berterusan sebanyak RM50 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun.
"Aktiviti huluan juga menjana limpahan ekonomi ke sektor hiliran dan industri sokongan,” kata Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong.
Pelancaran MBR 2026 turut menyaksikan PETRONAS menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem berasaskan teknologi di Malaysia, dengan rakan kongsi termasuk Global FCNG, Inc, ZDA Corporation Sdn Bhd dan MTC Engineering Sdn Bhd.
Seiring agenda peralihan tenaga, PETRONAS juga memperluas kerjasama melepasi sempadan kontrak perkongsian pengeluaran tradisional melalui inisiatif Borderless, disokong oleh perjanjian dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd dan Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd.
Inisiatif ini menggunakan rangka kerja CBijak Malaysia Landscape untuk mengoptimumkan pembangunan sumber serta memperkukuh penyelesaian pengurusan CO2 yang komersial dan berdaya maju. - DagangNews.com








