PETRONAS giat perluas pelaburan LNG di luar negara bagi lindungi bekalan negara ketika pertikaian dengan Sarawak masih samar, kata BMI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS giat perluas pelaburan LNG di luar negara bagi lindungi bekalan negara ketika pertikaian dengan Sarawak masih samar, kata BMI

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Langkah PETRONAS memperluaskan pelaburan gas asli cecair (LNG) di luar negara dilihat sebagai strategi penting untuk menjamin bekalan tenaga Malaysia, ketika ketidaktentuan mengenai hak kawal selia gas di Sarawak terus memuncak, menurut BMI, unit penyelidikan di bawah Fitch Solutions.

 

“Walaupun aset dalam negara kekal sebagai teras operasi PETRONAS, peranan dominannya sebagai pengawal selia dan pengagregat gas asli di Sarawak dijangka berkurangan – meskipun terdapat persetujuan mengenai hak negeri terhadap rizab minyak dan gas,” kata BMI.

 

Menurut BMI, Sarawak ketika ini menyumbang 40% rizab minyak dan 60% rizab gas Malaysia, justeru sebarang pengurangan peranan PETRONAS di negeri itu bakal memberi kesan besar terhadap aktiviti huluan dan hiliran kumpulan minyak negara tersebut.

 

 

 

 

 

 

Oleh itu, dalam suasana ketidaktentuan itu, tidak menghairankan PETRONAS meningkatkan kerjasama dengan syarikat tenaga serantau dan global untuk memperluas jejak antarabangsa.

 

Pada Oktober, anak syarikat PETRONAS, PETRONAS Carigali International Ventures, menandatangani MoU dengan Dragon Oil untuk meneroka kerjasama sektor huluan antarabangsa, terutamanya di Mesir dan Turkmenistan di mana kedua-duanya mempunyai aset.

 

Sebelum itu, PETRONAS telah memeterai beberapa perjanjian penilaian teknikal dengan gergasi tenaga antarabangsa seperti BP, Eni, INPEX, Pertamina, PTTEP dan TotalEnergies, menunjukkan minat PETRONAS untuk mengembangkan pelaburan huluan di kawasan frontier Semenanjung Malaysia.

 

Dalam ulasan itu juga, BMI turut menyoroti pelaburan PETRONAS dalam Gladstone LNG di Australia dan LNG Canada.

 

Pelaburan LNG luar negara terbaharu PETRONAS adalah pegangan 15% dalam kontrak perkongsian pengeluaran Masela di Indonesia, yang merangkumi projek Abadi LNG berkapasiti 9.5mtpa. 

 

Kerajaan Indonesia telah meluluskan pelan pembangunan projek itu pada Disember 2023, namun keputusan pelaburan akhir masih belum dimuktamadkan.

 

BMI melihat Indonesia kekal destinasi menarik bagi syarikat Malaysia kerana jaraknya yang dekat dengan pusat permintaan domestik – faktor yang dapat mengekalkan kos bekalan yang kompetitif.

 

Dalam perkembangan lain, PETRONAS juga baru-baru ini keluar daripada projek LNG Argentina bersama YPF.

 

Awal bulan ini, PETRONAS memeterai perjanjian dengan Pembina Pipeline Corporation bagi hak ekuiti 1.0mtpa kapasiti pencairan di fasiliti Cedar LNG selama 20 tahun, yang dijangka siap pada 2028. 

 

Ini merupakan pelaburan LNG besar kedua PETRONAS di Kanada selepas projek LNG Canada, di mana PETRONAS memegang 25% ekuiti dan telah menghantar kargo LNG pertama pada Julai.

 

Menurut BMI, pegangan pelaburan PETRONAS dalam LNG di luar negara dijangka meningkat, walaupun kebanyakan volum itu dijual terus kepada pasaran dan bukannya dibawa pulang ke Malaysia.

 

BMI berkata peningkatan portfolio LNG luar negara PETRONAS ini jelas menunjukkan syarikat negara itu mahu memperluaskan portfolio LNG globalnya dan sekali gus memastikan bekalan kukuh kepada pelanggan Malaysia sekiranya akses kepada LNG dari kompleks Bintulu di Sarawak terjejas.

 

Menurut BMI lagi, pada Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengiktiraf Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai pengagregat gas negeri, tetapi tidak menyatakan secara jelas kedudukan sebagai “pengagregat tunggal”.

 

 

 

 

 

 

 

Namun, kedudukan PETRONAS yang memiliki dan mengoperasikan kompleks LNG di Bintulu sebagai pengeluar dan pengeksport LNG tunggal negara juga masih belum dipastikan.

 

“Walaupun dilaporkan terdapat rundingan bagi PETROS dan PETRONAS bertindak sebagai pengagregat bersama, hasilnya masih samar, dan Sarawak jelas bertegas untuk mengurus sendiri sumber gas asli dalam wilayahnya,” kata BMI. - DagangNews.com