PETRONAS Chemicals peroleh lanjutan kontrak bekalan Heavy Naphtha bernilai RM8.39 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS Chemicals peroleh lanjutan kontrak bekalan Heavy Naphtha bernilai RM8.39 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Chemicals Marketing (Labuan) Ltd (PCML) memperoleh lanjutan kontrak bekalan Heavy Naphtha (HVN).

 

Penyambungan itu bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Disember 2028 dengan anggaran jumlah nilai kontrak perjanjian jual beli (SPA) diperbaharui ialah AS$1.88 bilion (kira-kira RM8.39 bilion).

 

Kumpulan tersebut berkata, ia susulan pemeteraian SPA berkenaan dengan PETCO Trading Labuan Company Ltd (PTLCL), iaitu anak syarikat tidak langsung kepada PetrllyOli Nasional Berhad (TRCLO).

 

"PCML memperoleh HVN sebagai bahan mentah untuk operasi loji di PETRONAS Chemicals Aromatics Sdn Bhd (PCARO), iaitu anak syarikat milik penuh PCG," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Terdahulu, PETRONAS dan PCARO memeterai SPA pada 3 Mac 2002, dengan PETRONAS bersetuju untuk membekal dan menjual HVN kepada PCARO, berkuat kuasa 1 April 2000 untuk tempoh yang kekal.

 

Bagaimanapun selepas itu, tempoh kontrak disemak untuk tamat pada 31 Mac 2025 dan pada 1 Julai 2014, PETRONAS mengubah semua hak serta segala kewajipannya di bawah SPA berkenaan kepada PTLCL.

 

PCARO dipilih kerana teknologinya direka untuk menggunakan HVN secara eksklusif tetapi disebabkan bilangan pembekal terhad dalam pasaran, penyumberan pihak ketiga mengakibatkan kos tinggi.

 

"Tiada pengarah atau pemegang saham utama PCG atau individu yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak, dalam urus niaga berkenaan," katanya.

 

Lembaga Pengarah juga mempertimbangkan semua faktor dan berpendapat urus niaga demi kepentingan terbaik syarikat, munasabah mengikut terma komersial biasa dan tidak memudaratkan pemegang saham.

 

Tambah PCG, SPA itu tiada sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham serta tidak mempunyai kesan material ke atas pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. - DagangNews.com