Pestec akhirnya berjaya kemuka laporan tahunan dan penyata diaudit FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pestec akhirnya berjaya kemuka laporan tahunan dan penyata diaudit FY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Pestec International Bhd akhirnya berjaya mengemukakan laporan tahunan dan penyata kewangan beraudit bagi tempoh berakhir 31 Mac 2025 kepada Bursa Malaysia, dengan memberikan alasan kelewatan itu berpunca daripada kekurangan masa untuk menyiapkan audit bagi tempoh kewangan selama 18 bulan.

 

Pestec sebelum ini gagal mengemukakan dokumen tersebut kepada bursa sebelum atau pada 31 Julai 2025 iaitu tidak melebihi empat bulan daripada tarikh akhir tempoh kewangan dikaji.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada 30 Julai 2025, kumpulan itu berkata, pasukan pengurusan baharu memerlukan lebih masa untuk "menilai kecukupan maklumat dan dokumen" bagi memuktamadkan penyata kewangan.

 

Selepas dikeluarkan dan dikemukakan kepada Bursa Malaysia, dokumen-dokumen tersebut kini boleh didapati di laman web syarikat dan juga laman web Bursa Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham Pestec digantung jika gagal kemuka laporan tahunan pada 7 Ogos 2025

 

Menurut Pestec, juruaudit luar telah mengeluarkan pendapat tanpa pengubahsuaian dan bersih terhadap penyata kewangan syarikat.

 

"Syarikat kami kekal kukuh dari segi operasi dengan asas yang mantap untuk menyokong proses transformasi yang sedang berjalan.

 

"Untuk hala tuju seterusnya, kami akan menyusun semula kumpulan ini sebagai sebuah organisasi yang lebih ramping, lebih kukuh dan lebih fokus.

 

"Pasukan pengurusan baharu telah dilantik bagi memperkukuh tadbir urus korporat, kecekapan operasi, pelaksanaan projek yang berkesan serta pengurusan kos projek dan operasi, dengan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan dalam masa terdekat melalui perancangan pertumbuhan masa hadapan yang berasaskan kekuatan teras kami sebagai penyedia penyelesaian dalam bidang Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan & Pentauliahan (EPCC) serta Operasi & Penyelenggaraan (O&M), di samping meletakkan asas untuk penglibatan dalam sektor tenaga," katanya. - DagangNews.com