Peruntukan RM600 juta termasuk untuk pemulihan enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, bukan hanya Carcosa Seri Negara - Khazanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peruntukan RM600 juta termasuk untuk pemulihan enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, bukan hanya Carcosa Seri Negara - Khazanah

Gambar/ BERNAMA
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 Okt - Khazanah Nasional Bhd menjelaskan peruntukan RM600 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bertujuan bagi memulihkan warisan Kuala Lumpur merangkumi kerja-kerja pemuliharaan Carcosa Seri Negara serta enam blok bangunan dalam kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata Khazanah menyambut baik inisiatif berterusan di bawah program Warisan KL, yang bertujuan memperbaharui imej warisan ibu negara serta mengangkat peranannya sebagai hab budaya dan ekonomi.

 

“Khazanah melabur RM600 juta dalam pemuliharaan Carcosa serta enam blok bangunan dalam kompleks Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur — tapak warisan hidup yang menghubungkan sejarah silam Malaysia dengan masa depan yang kreatif dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut beliau, Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan negara, reformasi institusi, dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

 

“Khazanah akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan rakan strategik di bawah kerangka Ekonomi MADANI serta Rancangan Malaysia Ke-13 bagi menterjemahkan keutamaan ini kepada nilai jangka panjang buat negara,” ujarnya.

 

Amirul Feisal menjelaskan menerusi inisiatif Dana Impak dan Jelawang Capital, Khazanah melabur dalam usaha untuk mengembangkan peluang ekonomi, membina kapasiti industri tempatan dan memupuk ekosistem inovasi negara.

 

Selain itu, Program Syarikat Pertengahan Khazanah (Mid-Tier Companies Programme) akan menyediakan sehingga RM250 juta pembiayaan bagi membantu syarikat bersaiz sederhana (mid-tier) untuk berkembang dan meningkatkan daya saing dalam rantaian nilai.

 

Katanya, Khazanah juga terus menyokong agenda pelaburan strategik kerajaan dalam sektor-sektor utama seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan mineral nadir bumi.

 

“Dalam sektor semikonduktor, kami terus memupuk kerjasama antara syarikat tempatan dan rakan kongsi multinasional. Usaha ini, bersama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, adalah sebahagian daripada dorongan kolektif menerusi inisiatif GEAR-uP bagi memperkukuh pelaburan domestik,” katanya.

 

Beliau menambah, Khazanah turut menyokong inisiatif untuk mempertingkatkan hubungan antarabangsa Malaysia, termasuk memperkukuh peranan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam merangsang kesalinghubungan udara negara.

 

“Pemerkasaan MAHB dijangka meningkatkan ketersambungan penerbangan dan seterusnya menarik lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara,” tambah beliau. - DagangNews.com