KUALA LUMPUR 3 Feb - Pasaran hartanah Malaysia dijangka mengalami perubahan besar dengan pengenalan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Januari 2026.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, perubahan itu dapat mempengaruhi sentimen pasaran, kemampuan pemilikan dan daya tarikan negara terhadap pelabur.
Beliau bagaimanapun berkata, pasaran dijangka hanya menghadapi gangguan minimum kerana pembaharuan tersebut tidak dijangka memberi kesan negatif yang ketara terhadap sentimen pasaran atau kemampuan pemilikan hartanah.
"Tarif duti setem semasa kekal tidak berubah, yang memastikan kestabilan untuk pembeli dan pemaju.
"Pembeli rumah pertama akan terus menikmati pengecualian penuh untuk hartanah yang bernilai sehingga RM500,000, yang membantu meringankan beban kewangan mereka," katanya kepada SunBiz.
Beliau berkata, STSDS memerlukan pembayar cukai membuat penilaian sendiri dan membayar duti melalui platform STAMPS di Lembaga Hasil Dalam Negeri, yang menggalakkan kecekapan dan ketelusan.
"Namun cabaran pentadbiran seperti pengelasan transaksi yang betul dan risiko denda lewat mungkin menjadi halangan, terutamanya bagi pemaju dan pihak berkepentingan yang lebih kecil," ujarnya.
Beliau pada masa sama turut menekankan kepentingan untuk melibatkan pakar undang-undang dan kewangan bagi memastikan pematuhan dan mengelakkan penalti.
Ooi menegaskan, di samping pembaharuan berkenaan, Malaysia kekal sebagai pasaran yang kompetitif bagi pelabur asing.
"Dengan kadar duti setem tetap 4% dan program mesra pelabur seperti Malaysia My Second Home dan Program Visa Premium, negara ini terus menarik pembeli antarabangsa," jelasnya.
Beliau berkata, harga hartanah Malaysia yang lebih berpatutan berbanding pasaran lain di rantau ini seperti Singapura, yang mengenakan duti setem lebih tinggi terhadap pembeli asing.
Mengenai manfaat jangka panjang untuk pasaran hartanah, Ooi menjelaskan, walaupun fasa awal pelaksanaan mungkin membawa cabaran operasi, Knight Frank percaya manfaat jangka panjang akan mengatasi kos yang terlibat.
"Pembaharuan ini dijangka menyelaraskan urusan hartanah, memperkukuhkan pematuhan dan mewujudkan sistem yang lebih telus yang dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran hartanah Malaysia.
"Bagi semua pihak yang terlibat, penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan dan bertindak proaktif seperti menyertai bengkel, seminar industri dan mendapatkan nasihat daripada pakar untuk memahami perubahan peraturan yang berlaku," tambahnya.
Knight Frank meramalkan, pembaharuan itu akan memberi manfaat kepada pasaran hartanah dengan menyederhanakan dan memodenkan proses dalam jangka masa panjang.
"Pasaran hartanah Malaysia kekal kukuh, dipacu terutamanya oleh permintaan domestik. Pembaharuan ini, walaupun mencabar pada awalnya, akan memastikan sistem yang lebih cekap dan telus yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah negara," katanya. - DagangNews.com








