Pertumbuhan Velesto pada FY25 dikhuatiri rendah disebabkan bergantung kontrak sedia ada - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Velesto pada FY25 dikhuatiri rendah disebabkan bergantung kontrak sedia ada - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Julai — Velesto Energy Berhad dikhuatiri hanya mencatatkan pertumbuhan yang rendah pada FY25 kerana banyak bergantung kontrak sedia ada diperoleh sebelum ini, kata Kenanga Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berbelah bahagi mengenai prospek masa depan kumpulan pembekal perkhidmatan penggerudian dan medan minyak itu dengan merujuk kepada beberapa situasi semasa.


Antaranya tambah firma itu, ialah kebimbangan mengenai keterlihatan jelas dalam perniagaan penyewaan pelantar untuk 2026 walaupun menerima sokongan pendapatan jangka pendek daripada kontrak sedia ada.


“Tinjauan pendapatan untuk FY25 kekal utuh, dipacu oleh liputan penyewaan sedia ada tetapi untuk FY26 pula kumpulan tersebut dibimbangi menghadapi risiko penurunan," kata Kenanga dalam nota kajiannya.


Perkembangan negatif berkenaan katanya, disebabkan sebanyak tiga lagi pelantar Velesto didapati masih belum lagi memperoleh sebarang kontrak penyewaan yang terjamin selamat daripada mana-mana pihak.


Kelmarin, kumpulan itu telah memperoleh kontrak terbaharu penggerudian daripada PTTEP HK Offshore Ltd dan PTTEP Sarawak Oil Ltd untuk penyediaan Naga 5 bagi kempen penggerudian dari 2025 sehingga 2026.


Kontrak yang bermula pada Jun 2025 itu meliputi sebanyak 15 telaga dan lapan telaga pilihan, bernilai AS$40 juta (RM188 juta) dengan kadar sewa harian tersirat sekitar AS$111,100 (kira-kira RM469,277).


Kenanga menambah, walaupun kemenangan terbaharu itu adalah positif kerana ia menjamin keterlihatan hasil Naga 5 pada tahun kewangan 2026, pemerolehan kontrak tersebut dianggap dalam jangkaannya.


"Kami menekankan bahawa penggunaan pelantar pada FY26 adalah kekal tidak menentu dengan hanya tiga pelantar iaitu Naga 4, 5 dan 8, telah memperoleh penyewaan kukuh setakat ini," kata firma tersebut.


Sementara pelantar-pelantar lain pula katanya, masih berusaha membida kontrak atau perbincangan pembaharuan yang belum lagi selesai, dengan beberapa pekerjaan mungkin bersifat sekali-sekala sahaja.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, Kenanga mengekalkan ramalan pendapatannya dan penarafan 'underperform' ke atas Velesto, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 16 sen.  - DagangNews.com