KUALA LUMPUR 22 Julai — Ketiadaan sebarang perkembangan positif yang melibatkan enam memorandum persefahaman (MOU) dibimbangi menjejaskan pertumbuhan SD Guthrie Berhad, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan sebelum itu mengumumkan ia memeterai tujuh MOU namun setakat ini hanya satu daripadanya yang berjaya memuktamadkan perjanjian jual beli (SPA).
Tambahnya, kesemua MOU itu yang melibatkan pelbagai pemaju hartanah dan agensi negeri tertentu, jika diselesaikan bakal membolehkan ia membangunkan tanah yang berpotensi sehingga 2,456 hektar.
"SD Guthrie merancang mahu memajukan 809 hektar setahun dalam tempoh 10 tahun tetapi hanya satu SPA ditandatangani, manakala baki masih belum ada apa-apa kemajuan," kata RHB Research dalam notanya.
Bagaimanapun kumpulan itu memberi jaminan enam MOU berkenaan sedang dirundingkan secara berterusan, sementara satu yang telah mencapai tahap SPA tersebut melibatkan EcoWorld Development Group Berhad.
Justeru sebagai usaha melangkah ke hadapan tambah firma itu, tumpuan akan terus diberikan kepada kawasan yang sudah matang untuk projek pembangunan seperti Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.
Selain itu kata RHB Research, SD Guthrie berhasrat untuk hanya mengumumkan penjualan tanah atau pembangunan taman perindustrian sejurus SPA ditandatangani kerana situasi tersebut lebih terjamin.
"Keuntungan jualan tanah pertama kumpulan itu dijangka menjelang akhir tahun ini, daripada SPA dengan EcoWorld membabitkan 484 hektar tanah di estet Bukit Pelandok, Negeri Sembilan," katanya.
Ia menganggarkan kumpulan itu boleh memperoleh RM520 juta tidak termasuk cukai hasil pelupusan itu tetapi masih tidak pasti berapa diperlukan untuk melabur semula dalam usaha sama (JV) berikutnya.
Bagi baki enam MOU, keuntungan pelupusan hanya akan diiktiraf mulai 2026 dan seterusnya, dengan kemungkinan SD Guthrie menjual tanah di Pulau Carey, Selangor kepada Sime Darby Property Berhad.
Berdasarkan perkembangan tersebut, RHB Research masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada sebanyak RM5.45 sesaham. - DagangNews.com








