Pertumbuhan pendapatan sektor utiliti diyakini lebih kukuh pada 2HFY25, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pendapatan sektor utiliti diyakini lebih kukuh pada 2HFY25, kata HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Julai — Pertumbuhan hasil sektor utiliti Malaysia diyakini mengekalkan daya tahan pada separuh kedua 2025, disokong pelbagai faktor, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, antaranya ialah rangka kerja kawal selia yang menggalakkan, lonjakan perbelanjaan modal dan peningkatan permintaan daripada pembangunan pusat data (DC) baharu.

 

Tambahnya, penerusan mekanisme asas aset kawal selia (RAB) dan prospek pendapatan lebih teguh dalam situasi harga bahan api stabil dan pergerakan mata wang memberi petanda baik untuk sektor itu.

 

"Kami mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap saham syarikat syarikat utiliti, memandangkan pendapatan dan kemampanan dividen menerusi sektor itu," kata HLIB Research dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, firma berkenaan mengesahkan saranan 'beli' terhadap YTL Power International Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan harga sasaran (TP) sesaham masing-masing RM5.02 dan RM16.20.

 

Bagaimanapun tambahnya, situasi berbeza kepada Petronas Gas Berhad (PGB) yang masih lagi dikekalkan sebagai 'pegang' dengan TP untuk kumpulan berkenaan juga tidak berubah sebanyak RM17.86 sesaham.

 

HLIB Research berkata, struktur tarif Tempoh Peraturan 4 (RP4) dari 2025 hingga 2027 ditetapkan baru-baru ini, mencerminkan komitmen berterusan oleh pihak kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan.

 

“Ia mengukuhkan lagi tinjauan positif jangka panjang kami untuk TNB di bawah RP4 dengan pertumbuhan pendapatan didorong asas aset terkawal yang diperbesarkan dan mekanisme hasil baharu," katanya.

 

Struktur tarif yang baru dilaksanakan berkuat kuasa 1 Julai 2025, telah menyaksikan purata caj elektrik asas kepada 45.4 sen setiap kilowatt-jam (kWj) daripada 39.95 sen setiap kWj di bawah RP3.

 

Di samping itu, pulangan yang dibenarkan TNB di bawah RP4 bagaimanapun adalah kekal pada 7.3 peratus, manakala jumlah perbelanjaan modal yang dibenarkan melonjak kepada sebanyak RM42.9 bilion.

 

"Kami tidak terlalu mengambil berat mengenai keputusan mahkamah baru-baru ini, kerana percaya TNB akan mencari penyelesaian secara baik dengan pihak berkuasa yang berkaitan," kata HLIB Research.

 

Bagi YTL Power pula, firma tersebut berkata, saham kekal pada harga yang menarik dengan pendapatan harga hadapan hanya 12 kali ganda, berbanding sebanyak 16 hingga 19 kali ganda untuk rakan setara.

 

Ia berkata, pemangkinnya berpunca daripada pentauliahan kapasiti DC baharu, perjanjian pembelian tenaga gas (PPA), projek solar 500 megawatt, dan pengembangan aset di Ranhill Utilities Berhad.

 

Perkembangan kumpulan utiliti YTL itu turut dijana anak syarikatnya, WessexWater di Britain apabila telah diluluskan untuk kenaikan tarif sebanyak 13.1 peratus kepada 20.8 peratus mulai April 2025.

 

Sementara itu kata HLIB Research, pendapatan stabil PGB disokong hasil terkawal di bawah perjanjian pemprosesan gas dan struktur RAB, yang menawarkan peningkatan lebih stabil tetapi kurang menarik.

 

"Walaupun kenaikan jangka pendek mungkin adalah terhad, saham kumpulan berkenaan menawarkan hasil dividen yang agak baik sebanyak empat peratus untuk tempoh 2025 hingga 2027," kata firma tersebut.

 

Permintaan elektrik tertinggi di Malaysia mencecah 21 gigawatt (GW) pada Mei 2025, melebihi ramalan Suruhanjaya Tenaga (ST) sebanyak 19.4GW dan kemudian melancarkan tender bagi mengisi kekurangan.

 

Ia susulan margin rizab semakin mengecil, yang kini berada 30 peratus termasuk sambungan PPA untuk loji yang menggunakan gas sedia ada dan loji baharu berjumlah sehingga 8GW dalam kapasiti tambahan.

 

"Pesaing utama untuk tender-tendar baharu ST ini termasuk TNB dan Malakoff Corp Berhad manakala YTL Power, PGB dan Kinergy Advancement Berhad dijangka bersaing untuk Kategori 2," kata HLIB Research.

 

Dalam pada itu tambahnya, pengembangan DC terus menjadi enjin pertumbuhan utama dan sehingga Mac 2025, TNB menyiapkan prasarana bagi menyokong 2.8GW beban DC, dengan 3.6GW lagi dalam pembinaan.

 

Kata firma itu, berdasarkan unjuran diterbitkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, kapasiti DC dijangka terus meningkat kepada 12.9GW menjelang 2030 dan 20.9GW menjelang 2040.

 

"Sektor ini bersedia mengukuhkan permintaan jangka panjang selari misi Malaysia menyasarkan pelepasan sifar bersih pada 2050 dan penghapusan arang batu sebelum 2044, ," katanya. - DagangNews.com