Pertumbuhan Pekat Group diramal terjejas akibat ketidaktentuan harga panel solar - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Pekat Group diramal terjejas akibat ketidaktentuan harga panel solar - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Julai — Isu ketidaktentuan harga panel solar fotovoltaik (PV) di pasaran ketika ini diramal boleh menjejaskan momentum pertumbuhan Pekat Group Berhad, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, produk berkenaan memang selama ini terdedah cukup luas kepada masalah harga berubah sama ada turun atau naik dalam masa terdekat tanpa sebarang jangkaan awal.

 

Keadaan tidak stabil itu tambahnya, berisiko besar terhadap prestasi kumpulan tersebut yang aktif dalam banyak projek solar PV komersial dan industri di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

 

"Ini boleh disifatkan sebagai risiko kelemahan utama ke atas Pekat Group selain masalah kelewatan pelaksanaan projek dan persaingan pasaran yang sengit," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

 

Syarikat kejuruteraan elektrik itu ketika ini memiliki buku tempahan berjumlah lebih RM600 juta, termasuk RM260 juta dalam bahagian kerja solar dan RM240 juta daripada EPE Switchgear (M) Sdn Bhd.

 

Mengulas mengenai usaha kumpulan tersebut semalam mahu menerbitkan 66.16 juta saham baharu iaitu 10 peratus daripada modal yang diperbesarkan, firma berkenaan mengambil pendirian berkecuali.

 

Langkah itu yang dijangka selesai pada suku ketiga 2025 kata Phillip Capital, bakal meningkatkan hasil kasar sehingga RM84.7 juta yang antaranya diperuntukkan untuk perbelanjaan modal aset solar.

 

"Kami difahamkan baki akan diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan mengurangkan kos faedahnya serta menjadikan aliran tunai bersih sebanyak RM30.7 juta," kata firma berkenaan lagi.

 

Secara keseluruhan, ia tidak memberi sebarang ulasan dalam pelaksanaan korporat itu, sementara menunggu keputusan muktamad mengenai harga terbitan Pekat Group, yang akan ditentukan kemudian.

 

Phillip Capital namun mengekalkan ramalan perolehan sesaham (EPS) kumpulan itu, dan menambah langkah yang dicadangkan berpotensi mencairkan EPS dari 2025 sehingga 2027 sebanyak 9% hingga 10%.

 

Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan menurunkan penarafan kumpulan tersebut kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran yang masih lagi tidak berubah kepada RM1.57 sesaham.

 

"Ia hasil penilaian dagangan semasa ketika ini pada 21 kali dengan jangkaan penambahan buku tempahan berbanding ramalan untuk projek solar dan segmen suis," katanya. - DagangNews.com