Pertumbuhan Kerjaya Prospek dibimbangi terjejas disebabkan kelembapan pasaran hartanah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Kerjaya Prospek dibimbangi terjejas disebabkan kelembapan pasaran hartanah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Julai — Momentum pertumbuhan Kerjaya Prospek Group Berhad dibimbangi boleh terjejas disebabkan masalah kelembapan pasaran hartanah ketika ini, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, isu berkenaan antara yang dikenal pasti mungkin mengganggu prospek kumpulan pemaju itu selain risiko tekanan kos sekiranya masih berlaku secara berpanjangan.


Bagaimanapun katanya, syarikat tersebut mujur memiliki aliran tunai bersih mencecah RM316.7 juta setakat suku pertama 2025 untuk memenuhi beberapa projek hartanahnya di Pulau Pinang dan Selangor.


"Kami menganggarkan Kerjaya Prospek mempunyai bank tanah seluas 34 hektar untuk dibangunkan dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM7 bilion," katanya dalam nota kajian.


RHB Research berkata, perkembangan positif itu berikutan langkah kumpulan berkenaan membeli tiga bidang tanah melalui tiga perjanjian berbeza di Puchong, Selangor yang berjumlah RM112.8 juta.


Antaranya seluas 1.6 hektar dibeli daripada Sunrise Bright City Sdn Bhd manakala baki 1.4 hektar daripada Top Up Properties Sdn Bhd dengan semua transaksi dijangka siap menjelang September 2025.


Selain itu katanya, Kerjaya Prospek turut membentuk usaha sama dengan Aspen Vision Tanjung Sdn Bhd bagi pembangunan dua bidang tanah pegangan bebas di Tanjung Bunga, Pulau Pinang seluas 1.8 hektar.


"Nilai pertimbangan pemerolehan tersebut dianggarkan RM117 juta dengan anak syarikat kumpulan itu, Senandung Raya Sdn Bhd memegang 60 peratus kepentingan dan dijangka selesai akhir 2025," katanya.


Di samping itu, RHB Research merujuk usaha Kerjaya Prospek aktif dalam dua lagi projek pembangunan hartanah di Pulau Pinang yang melibatkan kerjasama dengan Rivanis Ventures dan Aspen Vision Land.


Berdasarkan kemajuan positif tersebut, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.80 sesaham jika tiada risiko besar berlaku. - DagangNews.com