KUALA LUMPUR 14 Julai — Econpile Holdings Berhad dilihat berisiko besar terjejas pertumbuhan hasil disebabkan masalah kelewatan dalam perolehan projek-projek baharu, kata CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara dua faktor kelemahan utama yang dikenal pasti ketika ini sehingga boleh mengganggu buku pesanannya yang ketika ini sudah mencecah sebanyak RM580 juta.
Tambahnya, isu berkenaan boleh menjejaskan prospek pekerjaan kumpulan pembinaan itu selain masalah ramalan kos bahan mentah lebih tinggi ekoran tekanan harga di pasaran dan ketidaktentuan pembekal.
"Kami namun yakin dengan keupayaan Econpile kerana pada masa ini kesemua projek dikendalikan tidak terlibat dengan sebarang isu pembinaan yang diwarisi pemaju sebelumnya," kata CGSI dalam notanya.
Kumpulan itu kata firma tersebut, pernah menghadapi beberapa isu dengan tiga projek besar antaranya kerja-kerja menaik taraf jalan di Pahang, sebelum berjaya telah diselesaikan secara berperingkat.
Justeru, ia menjangkakan pendapatannya akan menunjukkan sedikit pemulihan dalam tempoh 4QFY25 dan lebih jelas pada FY26 apabila pengiktirafan kebanyakan projeknya semakin meningkat dengan baik.
CGSI merujuk pencapaian Econpile hampir dua minggu memasuki tahun kewangan baharunya, dengan meraih beberapa kontrak baharu termasuk kerja cerucuk di Klang bernilai RM98.2 juta pada 11 Julai 2025.
"Kami berpandangan, ia mungkin mengatasi sasaran projek baharu FY26 sebanyak RM400 juta menerusi siri pelancaran banyak infrastruktur kerajaan, pusat data dan bangunan perindustrian," katanya.
Ia menganggarkan margin keuntungan kasar untuk projek terbaharu kumpulan berkenaan adalah 10 peratus iaitu serupa dengan beberapa lagi tender kerja-kerja cerucuk untuk kediaman yang sedia ada.
Berdasarkan perkembangan positif pada minggu lalu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' ke atas Econpile dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada 46 sen sesaham. - DagangNews.com








