Pertubuhan masyarakat madani tuntut Parlimen ambil peranan dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertubuhan masyarakat madani tuntut Parlimen ambil peranan dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 April - Sekumpulan pertubuhan masyarakat madani menuntut Parlimen diberi peranan dalam proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjamin kebebasan institusi antirasuah itu daripada pengaruh kuasa eksekutif.

 

Organisasi yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah The Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center), CSO Platform for Reform, BERSIH, Rasuah Busters serta Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA).

 

Mereka menegaskan reformasi terhadap kaedah pelantikan jawatan tertinggi SPRM perlu dilaksanakan segera ketika tempoh perkhidmatan penyandang semasa, Tan Sri Azam Baki, menghampiri penghujungnya.

 

Menurut mereka, kebimbangan awam terhadap proses pelantikan sedia ada sudah lama berlarutan dan kerajaan perlu mengambil langkah tegas bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

 

Katanya, badan antirasuah itu bukan sahaja perlu bebas dalam menjalankan tugas, malah mesti dilihat bebas oleh masyarakat.

 

Tanpa perubahan struktur, mereka berpandangan kebebasan SPRM akan terus dipersoalkan selagi kuasa pelantikan ditentukan sepenuhnya oleh cabang eksekutif.

 

Kuasa eksekutif dipersoal

Dalam kenyataan itu, mereka merujuk Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

 

Mereka turut merujuk Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan nasihat tersebut mengikat, sekali gus memberi kuasa penentu kepada Perdana Menteri dalam pelantikan berkenaan.

 

Menurut kumpulan itu, keadaan tersebut menimbulkan persoalan serius memandangkan SPRM mempunyai kuasa luas termasuk menjalankan siasatan, serbuan, rampasan dan penahanan.

 

Penumpuan kuasa kepada seorang individu, katanya, membuka ruang kepada persepsi campur tangan, penyalahgunaan kuasa serta kecenderungan politik.

 

Kenyataan sama turut menyebut beberapa dakwaan siasatan terpilih dan bermotif politik yang timbul sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk laporan antarabangsa pada 2024 mengenai dakwaan pengaruh eksekutif dalam siasatan tertentu.

 

Kontroversi berterusan

Mereka turut menyifatkan tempoh kepimpinan Azam Baki dicemari pelbagai kontroversi termasuk isu pegangan saham pada 2021, tindakan undang-undang terhadap wartawan bebas serta dakwaan mutakhir melibatkan kaitan pegawai SPRM dengan rangkaian mafia korporat.

 

Menurut mereka, keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam beberapa kali menambahkan lagi persoalan awam terhadap integriti institusi berkenaan.

 

Keadaan itu, menurut kenyataan berkenaan, telah menghakis keyakinan rakyat terhadap SPRM dan kepimpinannya.

 

Bagaimanapun, mereka menegaskan reformasi sebenar bukan sekadar memindahkan kuasa pelantikan daripada seorang individu kepada individu lain.

 

Sebaliknya, apa yang diperlukan ialah sistem semak dan imbang institusi yang mengagihkan kuasa secara telus serta bertanggungjawab melalui Parlimen.

 

Tiga tuntutan utama

Sehubungan itu, kumpulan berkenaan mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan.

 

Pertama, menubuhkan segera Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menyelia reformasi SPRM termasuk menapis dan mencadangkan calon Ketua Pesuruhjaya.

 

Kedua, menyediakan pelan tindakan jelas bagi memastikan kuasa pelantikan tidak lagi dimonopoli pihak eksekutif, sebaliknya melibatkan Parlimen secara bermakna.

 

Ketiga, menggubal kriteria pelantikan yang telus dan berasaskan merit, termasuk aspek integriti, kebebasan serta kepakaran yang relevan.

 

Desakan terbaharu itu dijangka menambah tekanan terhadap kerajaan ketika agenda reformasi institusi terus menjadi tumpuan rakyat. - DagangNews.com