Pertama Digital diberi lanjutan sehingga Oktober 2025 kemuka pelan penyusunan semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital diberi lanjutan sehingga Oktober 2025 kemuka pelan penyusunan semula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Pertama Digital Bhd menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk lanjutan tempoh sehingga 31 Oktober 2025 bagi mengemukakan pelan penyusunan semulanya.

 

Kumpulan itu berkata, lanjutan itu akan membolehkannya meneruskan inisiatif penting di bawah usaha penstrukturan semula.

 

Ia termasuk cadangan pengambilalihan Kumpulan D-Ron, syarikat teknologi yang beroperasi di Malaysia dan Singapura yang mengkhusus dalam sistem pengawasan dan keselamatan awam berasaskan kecerdasan buatan (AI). 

 

 

 

 

 

 

Perjanjian penjualan saham dijangka dimuktamadkan dalam tempoh lanjutan ini, dan ketika ini dalam peringkat semakan wajar.

 

Pertama Digital juga sedang memuktamadkan kerjasama dengan penyedia CPaaS global, Infobip, bagi mempertingkatkan komunikasi digital antara kerajaan dan rakyat.

 

Projek-projek lain yang sedang dijalankan termasuk eJamin, sistem pembayaran jaminan yang telah memproses lebih RM1 bilion dalam urus niaga, serta BizKecil, sebuah platform yang menyokong perusahaan kecil.

 

Syarikat ini turut meneroka kerjasama dalam bidang keselamatan siber bersama Netsec Sdn Bhd bagi sektor awam.

 

“Lanjutan ini bukan sekadar perkara prosedur. Ia memberikan kami masa yang diperlukan untuk menyiapkan komponen kritikal dalam pelan penyusunan semula kami.

 

“Kami kekal fokus untuk menyampaikan hasil yang mampan dan jangka panjang menerusi pengambilalihan serta perkhidmatan digital yang dibangunkan secara dalaman," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Lim Nasrul Halim dalam satu kenyataan.

 

Pertama Digital berkata, usaha-usaha itu merupakan sebahagian daripada pelan untuk mengukuhkan prestasi kewangan dan daya tahan operasi syarikat. - DagangNews.com