KUALA LUMPUR 7 Feb - Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan melaksanakan caruman wajib dua peratus Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.
MEOA menyuarakan kebimbangan mengenai polisi tersebut dan meminta ia ditangguhkan sehingga objektif dan mekanismenya dijelaskan dan dapat dilaksanakan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.
"Melaksanakan polisi ini dengan tergesa-gesa tanpa keterangan yang jelas dan pemahaman tentang kesan-kesannya boleh membahayakan industri minyak sawit dan ekonomi negara.
"Kami menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula keputusan ini dan memberi peluang kepada semua pihak yang terlibat untuk berbincang dan mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua," katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan kadar caruman KWSP untuk pekerja asing sebanyak dua peratus, yang jauh lebih rendah daripada 12 peratus yang dicadangkan pada awalnya.
MEOA berkata, pekerja asing datang bekerja untuk tempoh jangka pendek, dengan tujuan untuk menyimpan dan menghantar sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal.
Menurut persatuan itu, caruman KWSP wajib akan membekukan sebahagian pendapatan mereka, berpotensi menjadikan Malaysia kurang menarik untuk bekerja.
"Dengan tiada mekanisme yang diumumkan, ia tidak jelas bagaimana pekerja asing dapat mengakses simpanan KWSP mereka apabila mereka pulang ke negara asal," katanya.
Jelas MEOA, pengurusan proses itu juga akan meningkatkan kos operasi bagi pemilik dan pengendali ladang.
Malah katanya, cabaran pengurusan akan menjadi lebih besar bagi ladang yang terletak di kawasan terpencil tanpa akses internet.
Seiring dengan industri yang bergelut dengan isu pematuhan tambahan, MEOA berkata, ia memerlukan masa, usaha dan keperluan kewangan tambahan yang sepatutnya digunakan untuk fokus kepada tugas kritikal seperti meningkatkan hasil dan penanaman semula dalam persekitaran ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar.
"Caruman KWSP wajib untuk pekerja asing adalah tidak sihat untuk industri kerana aliran keluar kewangan ini boleh dilaburkan semula ke dalam penanaman semula yang pada masa ini amat kritikal kerana data profil usia pokok sawit negara menunjukkan sebahagian besar memerlukan penanaman semula segera.
“Sebarang kelewatan dalam program penanaman semula akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara," tambahnya.
MEOA berkata, kebanyakan negara maju dan negara membangun tidak melaksanakan atau telah membatalkan inisiatif sedemikian. - DagangNews.com








