KUALA LUMPUR 23 Julai — Industri automotif dijangka mengalami perubahan struktur dasar tenaga dalam tempoh enam bulan dipacu persaingan pasaran kenderaan elektrik (EV), kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan perlu membuat keputusan menjelang akhir tahun sama ada menamatkan pengecualian cukai import EV yang dipasang lengkap dan kawalan Permit Diluluskan (AP).
Katanya, anjakan itu bakal membentuk dinamik daya saing pasaran EV tempatan, serta mempercepatkan liberalisasi dan mengundang persaingan harga lebih agresif atau terus melindungi pemain tempatan.
"Sesiapa yang ada pendedahan kuat kepada penyumberan yang cekap, dan kandungan tempatan tinggi akan berada pada kedudukan terbaik untuk memacu peralihan," kata BIMB Securities dalam notanya.
Walaupun risiko permintaan jangka pendek berterusan, terutama ketidakpastian dasar dan turun naik harga, firma itu yakin pelaksanaan pembaharuan boleh membuka usaha pertumbuhan jangka sederhana.
Langkah itu tambahnya, dijangka dapat memastikan kestabilan margin dan ia mengekalkan pendirian 'neutral' ke atas sektor ini dengan cenderung positif, memihak kepada pengeluar peralatan asal.
BIMB Securities mengulangi saranan 'pegang' ke atas Sime Darby Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.76 dan MBM Resources Berhad (TP RM4.30) serta 'jual' kepada Bermaz Auto Bhd (TP 65 sen).
"Meskipun semua syarikat di bawah liputan kami ada pendedahan kepada pasaran EV, kami menyukai Sime Darby kerana portfolionya yang meliputi BYD dan BMW diapati mantap," kata firma berkenaan.
Ia namun menyifatkan campuran seimbang memastikan pendapatan bertahan ketika peralihan pasaran dan meletakkan Sime Darby sebagai pemenang struktur teknologi enjin pembakaran dalaman (ICE).
BYD turut mengurangkan harga Atto 3 Ultra 2025 kepada RM123,800 dengan tawaran istimewa RM118,800 untuk pembeli awal, dan meletakkannya dalam perbandingan Proton Emas 7 Premium (RM119,800).
Langkah ini kata BIMBS Securities, mencetuskan semula spekulasi perang harga EV dengan memihak kepada pertumbuhan secara terkawal, kerana sejajar dengan hala tuju dasar kerajaan yang jelas.
"Lanjutan insentif cukai sehingga akhir 2027 untuk model dipasang lengkap mengukuhkan komitmen Malaysia memupuk pengeluaran tempatan, rantaian bekalan dan pembangunan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








