Perolehan Keyfield susut 33.7% kepada RM132 juta pada Q2 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan Keyfield susut 33.7% kepada RM132 juta pada Q2 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Keyfield International Berhad merekodkan penurunan pendapatan sebanyak RM67.0 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q2025), susut kepada RM132 juta berbanding RM199 juta pada tempoh sama tahun lalu, iaitu penurunan 33.7%.

 

Penyusutan ini berpunca terutamanya daripada pengurangan hari sewaan bagi kapal milik sendiri dan pihak ketiga akibat jadual penyelenggaraan yang lebih panjang serta permintaan yang lebih lemah dalam pasaran kapal sokongan luar pesisir (OSV) domestik.

 

Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku tersebut berjumlah RM97.9 juta, turun RM11.6 juta atau 10.6% daripada RM109.5 juta pada 2Q2024.

 

Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pula berkurangan kepada RM66.4 juta daripada RM70.0 juta, iaitu penurunan RM3.6 juta atau 5.2% tahun ke tahun.

 

Syarikat berkata prestasi yang lebih rendah ini didorong oleh tiga faktor utama:
 

Hari penyelenggaraan lebih tinggi – Dua kapal penginapan menjalani kerja penyelenggaraan utama selepas beroperasi hampir tanpa henti pada suku-suku sebelumnya. Empat kapal menjalani dok kering bagi pemeriksaan khas yang diwajibkan, manakala dua lagi sedang disiapkan untuk kontrak akan datang. Sebahagian kerja ini berlanjutan ke 2Q2025, sekali gus mengurangkan jumlah hari sewaan yang tersedia.

 

Permintaan domestik lebih lemah – Kadar penggunaan armada jatuh kepada 74.6% pada 2Q2025 berbanding 96.9% tahun lalu, manakala kadar penggunaan tahun setakat ini (YTD) susut kepada 58.2% daripada 82.4%. Keadaan ini disebabkan oleh harga minyak mentah global yang lebih rendah, ketegangan geopolitik, tarif AS, dan ketidaktentuan dalam sektor minyak dan gas tempatan, yang menyebabkan kelewatan projek serta pengurangan permintaan untuk kapal penginapan (AWB).

 

Pengurangan sewaan kapal pihak ketiga – Syarikat memberi keutamaan kepada penggunaan kapal milik sendiri untuk memaksimumkan kadar penggunaan aset dalaman dan pengekalan hasil, sekali gus mengurangkan hari sewaan bagi kapal pihak ketiga.

 

Bagi mengukuhkan daya tahan, Keyfield meningkatkan pengembangan ke pasaran antarabangsa termasuk kontrak sewaan dua tahun bagi kapal penunda dan pembekal sauh (AHTS) di Emiriah Arab Bersatu bermula Mei 2025.

 

Selain itu, syarikat turut melaksanakan pelupusan Keyfield Lestari yang mencatat keuntungan RM25.7 juta, serta penghantaran kapal barge pembentangan kabel pertama syarikat, Keyfield Blessing, ke Arab Saudi pada April 2025 di bawah kontrak sewaan 1+1 tahun, menandakan kemasukan ke segmen bukan minyak dan gas.

 

Syarikat turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 3.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi FY2025 setakat ini sebanyak 4.0 sen atau kira-kira 37% daripada PATAMI. Tarikh pembayaran akan diumumkan kelak. - DagangNews.com