Perolehan IOI Corporation dikhuatiri susut 6% pada FY26 disebabkan kurang permintaan - AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan IOI Corporation dikhuatiri susut 6% pada FY26 disebabkan kurang permintaan - AmInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Julai — IOI Corporation Berhad dikhuatiri mencatatkan penyusutan perolehan kasar sebanyak enam peratus pada tahun kewangan 2026, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kemerosotan berkenaan disebabkan permintaan ke atas produk minyak sawit keluarannya diramal berkurangan kerana faktor ketidaktentuan ekonomi global semasa.

 

Ketika ini tambahnya, perolehan hasil sebelum ditolak kepentingan lain dan cukai (EBIT) kumpulan perladangan itu terutamanya untuk segmen oleo kimia hanya ialah RM14.6 juta pada suku ketika 2025.

 

"Terdapat risiko pengenaan cukai jualan sebanyak lima peratus ke atas isi rung sawit (PKO) di Malaysia boleh menjejaskan lagi pendapatan oleo IOI sendiri," kata AmInvest dalam nota kajiannya.

 

Kumpulan berkenaan merekodkan kapasiti pengeluaran oleo kimia tahunan sebanyak 890,000 tan, yang kebanyakannya di Malaysia, namun yakin EBIT akan pulih semula pada 4QFY25 dijana unit penapisan.

 

Bagaimanapun, firma tersebut percaya bahawa adalah sukar untuk menyerapkan kos cukai jualan kepada pelanggan apabila pemain Indonesia pula mampu menjual produk mereka pada harga yang lebih rendah.

 

AmInvest menjangkakan keuntungan bersih teras IOI Corporation boleh meningkat suku ke suku pada tiga bulan terakhir tahun ini kerana volum pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) lebih tinggi.

 

"Keadaan itu diunjur mengimbangi harga produk sawit yang turun 14.3 peratus selain pengeluaran buah tandan segar (BTS) dijangka meningkat lebih 30 peratus pada 4QFY25," kata firma berkenaan.

 

Keadaan tersebut tambahnya, diramal menyebabkan purata harga MSM IOI direalisasikan merosot kepada RM4,000 setiap tan pada suku tersebut berbanding RM4,667 satu tan yang direkodkan pada 3QFY25.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, AmInvest mengekalkan saranan 'pegang' ke atas kumpulan berkenaan dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM4.05 sesaham. - DagangNews.com